Tiga Sebab Mengapa UMNO Tidak Lagi Perlukan Mahathir

Kerajaan PH di bawah Dr. Mahathir kini telah membekukan akaun-akaun UMNO.

Mahathir dan kerajaan melalui SPRM telah memfailkan tuduhan ke atas 41 individu dan entiti berkaitan UMNO untuk melucut hak harta.

Mahathir berkata dia boleh membankrapkan UMNO jika dia mahu.

Ini semua adalah untuk menekan UMNO supaya tunduk, akur dan melutut kepada beliau.

Beliau juga mahu memaksa lebih ramai pemimpin-pemimpin UMNO untuk melompat masuk partinya.

Jika UMNO berdegil juga Mahathir mempunyai pilihan untuk mengharamkan UMNO.

Namun Mahathir tahu UMNO tidak boleh dipecahkan dari luar.

Apa yang sebaliknya Mahathir akan dan sedang buat untuk melenyapkan UMNO ialah melemah dan memecahbelahkan UMNO dari dalam, seperti yang beliau sedang buat kepada PKR kini.

Mahathir akan cuba menunjukkan seolah-olah UMNO masih memerlukan beliau lantas “menjemput” beliau kononnya untuk “menyelamatkan” UMNO.

Namun terdapat tiga sebab mengapa UMNO sebenarnya tidak lagi perlukan Mahathir, malah adalah memudaratkan UMNO jika Mahathir kembali:

MAHATHIR, PPBM, PKR DAN DAP

PERTAMA, Mahathir bukanlah orang yang berprinsip atau setia kepada rakan dan perjuangan.

Setiap kali Mahathir tertekan dengan partinya, dia akan bekerjasama dengan musuh, dan mengkhianati partinya.

Dulu Mahathir telah beberapa kali buat begini kepada UMNO apabila UMNO tidak mengikut katanya dan dia telah melompat masuk PH untuk bekerjasama dengan DAP menentang UMNO.

Kini Mahathir tertekan pula dalam PH. Kali ini Mahathir mempunyai masalah dengan Anwar sekali lagi. Dan Mahathir pernah menggertak untuk keluar PH.

Mesej yang ingin disampaikan oleh Mahathir ialah jika PH tidak ikut katanya, dia akan lompat parti seperti yang banyak kali dilakukannya sebelum ini.

Sebelum ini Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun, tetapi baru-baru ini tempoh tersebut dilanjutkan kepada tiga tahun pula.

Hakikatnya Mahathir tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

Anwar tentunya tahu akan hal ini dan Anwar terpaksa mula mengorak langkah untuk menjatuhkan Mahathir sekali lagi dan sesiapa sahaja yang Mahathir berniat melantik selain dirinya (Anwar) termasuk Azmin, Mukhriz atau Muhyiddin.

Untuk ini, pertama sekali Anwar perlu mendapatkan sokongan DAP.

Dalam PH, siapa yang DAP sokong, dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana blok bukan Melayu dan bukan Islam dalam PH adalah besar.

Daripada 129 Ahli Parlimen PH (DAP, PKR, PPBM dan PAN), majoriti atau lebih daripada separuh daripadanya adalah Ahli Parlimen bukan Melayu dan bukan Islam.

Jika kesemua Ahli Parlimen UMNO masuk PPBM sekalipun, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa PH adalah gagasan kuat bukan Melayu yang dikuasai DAP.

Sebab majoriti atau lebih 70% daripada pengundi PH dalam PRU-14 yang lepas adalah bukan Melayu dan bukan Islam ke atas mana DAP mempunyai pengaruh yang kuat.

Dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk PPBM dilihat secara langsung bersekongkol dengan DAP, oleh itu akar umbi dan penyokong-penyokong Melayu yang telah mengundi mereka sebelum ini tidak akan mengikut mereka malah mencemuh mereka sebagai pengkhianat.

Inilah yang telah berlaku kepada enam bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang telah melompat parti sebelum ini.

Apabila mereka bertanding semula di kawasan mereka atas tiket PH pada PRU-15 akan datang, besar kemungkinan mereka akan tewas.

Sebab inilah sejak tahun lepas saya telah berkata adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin UMNO beristiqamah bersama akar umbi dalam UMNO dan berjuang bersama PAS kerana peluang BN dan PAS untuk menang pilihanraya dan membentuk kerajaan dengan cara ini adalah lebih cerah untuk membawa perjuangan yang lebih lurus dan ikhlas untuk orang-orang Melayu dan Islam.

……..

Walaupun ada orang kata DAP kini menyokong Anwar, saya tidak rasa tanggapan ini benar.

Jika DAP menyokong Anwar, sudah lama Anwar telah boleh menjatuhkan Mahathir dan menggantikannya sebagai Perdana Menteri, tetapi ini tidak berlaku.

Anwar masih menunggu dan bermain selamat. Dia tidak pasti DAP sebenarnya menyokong siapa.

DAP masih menyokong Mahathir. Namun Mahathir tidak mahu orang Melayu tahu yang dia rapat dengan DAP atau mendapat sokongan dan mengikut telunjuk DAP.

Jika orang Melayu percaya yang DAP menyokong Anwar dan bukan Mahathir, ini akan menguntungkan Mahathir dan merugikan Anwar dari segi politik. Ini yang Mahathir mahu. Orang-orang Melayu rata-rata tidak boleh menerima DAP.

Hakikatnya, adalah lebih menguntungkan kepada DAP jika mereka menyokong Mahathir daripada mereka menyokong Anwar.

Ini adalah kerana parti Mahathir adalah parti yang kecil, oleh itu selagi Mahathir menjadi Perdana Menteri DAP yang lebih besar boleh memeras lebih banyak konsesi dari Mahathir kerana Mahathir amat memerlukan sokongan DAP untuk kekal menjadi Perdana Menteri.

Dalam realpolitik ini dipanggil ‘political leverage’, dan DAP mempunyai banyak political leverage ke atas Mahathir.

Pemimpin-pemimpin DAP yang bijak membaca politik seperti Kit Siang tentunya sudah tahu akan hal ini.

Sebab itu apabila PH menang dan Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, hampir kesemua jawatan menteri kabinet yang kritikal dengan peruntukan projek yang besar iaitu Kewangan, Pengangkutan, Komunikasi, Tenaga dan Komoditi semuanya dibolot DAP.

Dan sebab ini juga kini ke mana sahaja Mahathir pergi ada sahaja taikun-taikun perniagaan yang menyokong kuat serta yang membiayai DAP mengikutnya.

Taikun-taikun ini suka Mahathir, oleh itu DAP juga suka Mahathir.

Jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, adalah lebih sukar untuk DAP merunding dengan Anwar untuk mendapatkan konsesi dan jawatan kabinet dan kerajaan.

Sebab sebagai Perdana Menteri, Anwar dan PKR mempunyai lebih ramai ahli parlimen dan adalah parti terbesar dalam gabungan PH oleh itu mempunyai kuasa merunding atau ‘political leverage’ yang lebih kuat daripada Mahathir dan PPBM.

Jika Anwar menjadi Perdana Menteri, Anwar tentunya akan merombak kabinet dan meletakkan lebih ramai orang PKR di jawatan penting kerajaan yang diambil daripada kuota DAP dan PPBM.

Dan besar kemungkinan Anwar juga akan membatalkan atau merunding semula projek-projek yang telah diluluskan oleh Mahathir kepada kroni-kroninya dan DAP sebelum ini untuk diberi kepada pengikut-pengikut dan kroninya (Anwar) pula.

Dan walaupun Azmin kini kononnya dikatakan mempunyai 20 orang Ahli Parlimen PKR termasuk menteri PKR yang menyokongnya, namun jika Anwar menjadi Perdana Menteri, kesemua mereka yang kononnya mengikut Azmin ini akan u-turn dan melompat kepada Anwar secepat kilat termasuklah penyokong kuat Azmin iaitu Menteri Perumahan Zuraida Kamaruddin.

Saya tidak rasa Zuraida pun sanggup untuk hilang jawatan menteri apabila Anwar menjadi Perdana Menteri semata-mata untuk mempertahankan Azmin yang sudah terpalit dengan skandal terkutuk dan malap masa depan politiknya.

Dan Anwar akan menyatupadukan PKR kembali dengan kesemua 47 Ahli Parlimen menyokongnya dengan menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Apabila ini berlaku, habislah PPBM dan orang-orang Mahathir dan kepentingan-kepentingan politik dan projek mereka dan DAP juga akan hilang sedikit sebanyak kuasa politik dalam kerajaan.

Silap haribulan, Anwar akan memasukkan Mahathir dan kroni-kroninya ke dalam penjara hanya untuk membalas dendam kepada Mahathir atas apa yang diperlakukan ke atasnya selama ini sebaik sahaja dia (Anwar) dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ini amat merbahaya kepada Mahathir dan pengikut-pengikutnya yang berkepentingan.

Sebab inilah sejak setahun yang lepas saya telah berkata bahawa selagi Mahathir masih hidup dia tidak akan menyerahkan kuasa kepada Anwar walau apa pun dia (Mahathir) kata di depan orang ramai dan wartawan.

……..

MAHATHIR DAN PAS

KEDUA, Mahathir akan menggagalkan kerjasama UMNO dan PAS, dan akhirnya DAP yang akan untung lagi.

Mahathir bukan seorang pemimpin penyatu namun adalah pakar pecah dan perintah, ia adalah cara survival kelangsungan politiknya selama ini: Mahathir adalah pakar pemecahbelah orang Melayu.

Mahathir tidak akan tiba-tiba suatu hari bangun dari tidur dan bertukar menjadi penyatu ummah pula, itu bukanlah dalam nalurinya.

Selagi Mahathir hidup, dia akan pastikan yang orang-orang Melayu tidak akan bersatu supaya beliau terus berkuasa.

Sebab itu PKR, parti yang selama ini solid memperjuangkan pembebasan Anwar Ibrahim pun kini sedang berpecah di tangan Mahathir.

Sebab ini juga semasa zaman Mahathir, PAS dan UMNO bermusuhan teruk. Mahathir telah berseteru dengan Nik Aziz dan Fadzil Noor sehingga ke akhir hayat mereka.

UMNO hanya bekerjasama dengan PAS secara rapat dan terang-terangan selepas Mahathir keluar UMNO dan semasa zaman Najib menjadi Presiden UMNO.

Saya faham jika kini PAS terpaksa mengadap Mahathir kerana hal royalti minyak Terengganu dan Kelantan.

Jika Kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan tidak bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan royalti minyak maka rakyat Kelantan dan Terengganu akan tertekan dengan kekangan peruntukan kerajaan negeri yang sempit.

PAS terpaksa mengorbankan air muka mereka kepada Mahathir buat sementara waktu untuk kepentingan rakyat Terengganu dan Kelantan.

Namun pada hemat saya, walaupun PAS berurusan dengan Mahathir kini, PAS tidak pernah percaya kepada Mahathir.

Bukan mudah untuk melupakan segala luka, tamparan dan penghinaan Mahathir ke atas PAS selama ini hanya dengan sekelip mata. PAS bukanlah sebodoh itu.

Pada awal tahun 1990an, apabila Kelantan jatuh ke tangan PAS pada PRU-8, Mahathir telah mengekang peruntukan kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan kepada bawah 1% untuk menghukum kerajaan PAS Kelantan.

Kesannya, ekonomi negeri Kelantan tidak berkembang dan banyak peluang pekerjaan hilang dan rakyat Kelantan teruk tertekan.

Akibatnya telah berlaku penghijrahan beramai-ramai rakyat Kelantan ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan pada awal tahun 90an akibat ekonomi Kelantan yang murum kerana tindakan Mahathir ke atas PAS dan rakyat Kelantan.

Walaupun tindakan Mahathir itu adalah untuk melemahkan PAS, namun sebaliknya telah berlaku: lagi PAS ditekan, lagi mereka melawan dan menjadi kuat.

Walaupun Mahathir berjaya melemahkan kekuatan kewangan PAS, dia tidak dapat melemahkan kekuatan ideologi perjuangan mereka.

PAS bukanlah parti duniawi yang memberi penekanan kepada wang ringgit namun ia mempunyai kekuatan ideologi berasaskan agama Islam dan kebahagian akhirat.

Apabila PAS menjadi semakin kuat pada tahun 1990an, Mahathir telah membuat persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya pada tahun 1999 dan 2003.

Jumlah pengundi majoriti Melayu telah dikurangkan dan ditambah dengan pengundi bukan Melayu di banyak kawasan-kawasan Parlimen supaya PAS tidak boleh menang banyak kawasan parlimen dan DUN walaupun mereka mempunyai pengaruh yang kuat.

Perkara ini akan berlaku lagi.

Mahathir dan PAS mempunyai sejarah luka dan barah yang panjang yang tidak boleh diubati semalaman.

Oleh sebab itu, jika Mahathir dijemput dan diterima masuk UMNO, ia akan mengeruhkan rancangan penyatuan ummah dari dalam UMNO dan PAS sendiri.

Inilah yang PH mahukan dan cara halus mereka untuk menggagalkan penyatuan ummah UMNO dan PAS supaya PH dan DAP dapat terus berkuasa.

Kini mereka menggunakan Mahathir lagi.

……..

MAHATHIR DAN UMNO

KETIGA, jika UMNO menerima Mahathir, beliau akan membawa golongan opportunist, pengkhianat yang telah lompat parti, kroni-kroni dan kronisme, nepotisme serta politik kotor dan politik wang balik semula ke dalam UMNO.

Sekiranya ini berlaku, maka tidak akan ada pembaharuan dalam UMNO.

Dan selagi ini berlaku, selagi itulah rakyat rata-rata tidak akan menerima UMNO kembali dan kita tidak akan berjaya memikat hati mereka dan menang pilihanraya umum dan membentuk semula kerajaan.

Sebelum ini Mahathir telah mengkhianati UMNO sekurang-kurangnya tiga kali.

Mahathir pernah bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman dan dipecat dari UMNO.

Mahathir diselamatkan oleh Tun Razak namun bergaduh pula dengan Tun Hussein Onn.

Mahathir telah keluar dan mengkhinati parti dan menjatuhkan Pak Lah dan Najib apabila Pak Lah dan Najib tidak mengikut telunjuknya.

Jika kita ditipu dan dikhianati sekali oleh seseorang mungkin itu perkara biasa.

Tetapi jika kita ditipu dan dikhianati tiga kali oleh orang yang sama, maka bodohlah kita jika kita membiarkan diri kita ditipu dan dikhianati lagi olehnya.

Tidak seperti Mahathir, hampir semua ahli UMNO kini tidak pernah lompat parti, mereka adalah orang-orang yang setia kepada perjuangan parti.

Orang-orang yang keluar masuk parti seperti Mahathir bukanlah seseorang yang mengutamakan prinsip perjuangan namun hanya memperjuangkan kepentingan diri sendiri.

Jika kita terima Mahathir lagi, maka kita akui bahawa prinsip tidak penting dalam perjuangan dan sesiapa sahaja boleh keluar masuk parti bila parti tidak sehaluan dengan kepentingan dirinya.

Jika kita terima Mahathir lagi, kita juga terima bahawa kita tidak ada kekuatan sendiri dan masih perlu bergantung kepada Mahathir yang telah beberapa kali menghina dan menjatuhkan kita sebelum ini.

Jika kita terima Mahathir lagi, di manakah harga diri dan maruah kita?

……..

MAHATHIR, ANWAR, EKONOMI DAN RAKYAT

UMNO tidak perlukan Mahathir lagi. UMNO juga tidak perlukan Anwar. Zaman kedua-dua mereka ini sebenarnya telah berlalu 20 tahun yang lalu.

Mahathir dan Anwar bukan mahu menolong UMNO, tetapi hanya mahu menggunakan UMNO untuk kepentingan politik diri mereka sendiri.

Dan kedua-dua mereka pernah dan sedang bersekongkol dengan DAP untuk menghancurkan UMNO.

Siapa yang masih percaya kepada Mahathir dan Anwar, tidak pernah belajar dari sejarah atau masih menipu diri mereka sendiri atau tidak yakin dengan keupayaan diri sendiri.

Walaupun Mahathir pernah mendabik dada dan mengaku beliau adalah penyelamat krisis ekonomi 1997-1999 yang terburuk dalam sejarah Malaysia dahulu, sebenarnya Mahathir dan Anwarlah yang menjadi punca berlakunya krisis tersebut (saya akan menulis berkenaan ini dalam esei akan datang).

Dan kini dengan bantuan DAP mereka akan menghancurkan ekonomi negara sekali lagi.

Jika kita mahu Malaysia yang benar-benar baharu, kita perlu mencari pemimpin-pemimpin baru, iaitu yang bersih, bermoral dan berpengetahuan.

Jika tidak kita akan terus tersangkut di takuk lama dengan politik dan cara pentadbiran yang lama. Jika ini berlaku rakyat yang akan sengsara.

Sudah tiba masanya untuk UMNO berdiri di atas kaki sendiri tanpa Mahathir.

ISHAM JALIL

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit