Tok Mat Sambut Baik Ahmad Zahid Kembali Aktif, Alu-alukan Presiden UMNO
SEPANG, 30 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyambut baik pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa beliau kembali aktif memimpin UMNO.
Katanya, sememangnya Presiden UMNO itu patut kembali bertugas kerana UMNO perlu diuruskan bersama.
“Alhamdulillah kalau Ahmad Zahid menyatakan untuk kembali bertugas.
“Kita dapat meneruskan agenda memperkasakan parti serta menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2019 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk hari ini telah mengumumkan untuk kembali aktif memimpin parti selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.
Pengumuman tersebut telah dibuat pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu.
Terang Mohamad, pengumuman baharu Ahmad Zahid itu tidak langsung mengganggu usaha penstrukturan semula parti yang dijalankan beliau ketika menjalankan tugas-tugas Presiden sebelum ini.
Katanya, beliau menjalankan tugas presiden atas asas yang dipersetujui dan semuanya itu juga atas kerjasama pihak Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Dan tiada apa kelainan pun jadi, tiada isu mengatakan saya membuat perkara lain dan susah bagi Ahmad Zahid untuk balik. Malah, saya mengalu-alukan beliau untuk kembali.
“Ini kerana elok juga beliau buat keputusan begitu sama ada terus bercuti atau balik semula sebab banyak sangat gosip-gosip serta cakap-cakap luar pun tidak elok,” katanya lagi. – MediaUMNO