Mesyuarat Perwakilan Bahagian : Lima Asas Jadi Agenda Pengukuhan Parti – Armand


SUBANG, 18 Jun – Lima asas menjadi agenda pengukuhan parti di peringkat akar umbi, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Ujar Ketua UMNO Subang itu, perkara tersebut adalah berkaitan dengan perjuangan, penyatuan, pengukuhan, pelaksanaan dan perpaduan.

“Lima perkara ini akan terus menjadi agenda utama pengukuhan parti khususnya UMNO Bahagian Subang bagi mengerakkan jentera ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita juga mengambil pendekatan baru iaitu menggalaskan hala tuju yang jelas di peringkat akar umbi dan ia bermula di mesyuarat cawangan hingga ke mesyuarat perwakilan bahagian,” katanya kepada UMNO-Online.

Begitu juga tambahnya, kepimpinan parti di bawahnya mengamalkan konsep ‘less protocol’.

“Konsep ‘less protocol’ (kurang protokol) digunakan untuk mendekati rakyat dan masyarakat setempat agar rakyat mudah mendekati pimpinan UMNO Subang.

“Setiap bulan diadakan program-program yang bercorak forum, dialog dan soal jawab diperbanyakkan selain daripada program kebajikan bersama masyarakat.

“Tidak ketinggalan juga program imarah cawangan digerakkan agar cawangan-cawangan sentiasa aktif setiap bulan,” katanya lagi.

Jelasnya juga, pejabat Bahagian dijadikan konsep pusat komuniti dan sering diadakan sesi soal jawab mingguan di media sosial bersama masyarakat setempat mahupun warganet serta membuat siaran langsung menggunakan saluran Facebook dan Instagram.

“Salah satu lagi pendekatan di UMNO Subang adalah mengunakan teknologi terkini di mana kesemua surat rasmi dan maklumat diberikan secara talian atau emel.

“Mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan juga menggunakan konsep ‘paperless’ (tanpa menggunakan kertas) dan ini salah satu langkah penjimatan,” ujarnya lagi.

Berhubung dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, dijadualkan pada 4 Ogos nanti yang akan dirasmikan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tambahnya.

“Manakala perasmian serentak sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada 28 Julai oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang,” katanya lagi.

Sebelumnya, Armand menjelaskan terdapat lebih 58 Cawangan UMNO di Bahagiannya yang telah berjaya menggalas tanggungjawab mengadakan mesyuarat masing-masing. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.