Faktor Kukuhkan Kerjasama UMNO-PAS

KETIKA arena politik negara sedang heboh memperkatakan mengenai penyebaran video seks mirip seorang menteri sehingga merimaskan masyarakat khususnya orang Melayu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan berkaitan kerjasama parti itu dengan UMNO yang boleh dianggap mengurangkan keresahan golongan tersebut terhadap situasi politik negara.

Abdul Hadi tidak mahu terseret dalam kontroversi kerana isu video berkenaan adalah pendekatan politik yang memualkan. Walaupun ada dalam kalangan pemimpin kerajaan yang cetek berpolitik cuba menuding jari kepada pembangkang, biarkan sahaja rakyat mengukur tahap pemikiran politik mereka.

Apa yang lebih penting ketika ini ialah memastikan impian UMNO dan PAS bergabung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi kenyataan. Penulis difahamkan di peringkat pusat segala formula kerjasama sudah siap dan hanya menanti masa untuk dibincang serta diputuskan oleh jawatankuasa induk kedua-dua parti.

Bagaimanapun seperti kata Abdul Hadi, memandangkan PRU-15 masih jauh, kedua-dua parti masih dalam fasa mengukuhkan kerjasama.

Fasa tersebut amat penting kerana ia penentu sama ada kerjasama akan berjaya atau tidak. Berikut pandangan penulis berhubung faktor yang harus dititik beratkan bagi memastikan kerjasama antara kedua-dua parti berjaya.

Memahami kenapa UMNO-PAS perlu bekerjasama.

Bekerjasama bukannya bererti bergabung. Tiada sesiapa yang menjadi tuan dalam kerjasama ini. Pemimpin dan ahli kedua-dua parti perlu dberi pemahaman bahawa apa yang dilakukan bertujuan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kerjasama ini dilihat mampu mengembalikan kuasa politik orang Melayu yang kini sudah terlepas dari tangan mereka, biarpun ada parti Melayu dalam kerajaan ketika ini. Beberapa pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin telah menasihatkan supaya ahli parti itu tidak membangkitkan perkara lama yang boleh menimbulkan kebencian atau pergaduhan antara kedua-dua parti.

Semangat ini juga perlu ada dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Mereka perlu menerima dengan terbuka salam persaudaraan yang dihulurkan oleh PAS dan tidak perlu mengungkit kisah lama apatah lagi mengumpat dan mengeji antara satu sama lain.

Hapuskan prasangka dan mengungkit kisah lama.

Cukup berpuluh tahun berbalah, kini Allah SWT buka jalan untuk bersatu maka rebutlah ia demi kebaikan ummah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud;

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Isu pembahagian kerusi dan siapa layak bertanding di satu-satu kawasan dianggap paling kritikal dalam soal kerjasama antara kedua-dua parti. Ia bukan sahaja melibatkan soal sama ada calon PAS atau UMNO yang patut bertanding, malah di peringkat dalaman parti sendiri perkara ini dijangka ‘memanaskan’ situasi.

Apa yang perlu ada kepada pemimpin dan ahli kedua-dua parti ialah keikhlasan dan kejujuran serta sikap terbuka untuk menerima keputusan pucuk pimpinan. Dalam situasi politik ketika ini, pemimpin dan ahli UMNO dan PAS tidak boleh berbalah soal ini

Usah bertelingkah soal kerusi bertanding.

Mereka harus meletakkan kepentingan kerjasama mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok.

Janganlah pula apabila merasakan sekarang waktu terbaik untuk mencapai kemenangan, masing-masing berebut mahu menjadi calon sehingga berbalah sesama sendiri. Serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti khususnya jawatankuasa induk untuk buat keputusan terbaik.

Penulis percaya segala faktor akan diambil kira sebelum pembahagian kerusi dilakukan dan selepas itu elak berebut untuk menjadi calon. Apa yang lebih penting ialah kemenangan calon PAS atau UMNO.

Buanglah perangai buruk seperti berebut-rebut menjadi calon dan sikap ‘kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat’. Insaflah dengan apa yang berlaku dalam PRU-14 lalu.

Fahamilah juga kuasa Allah SWT dalam perkara ini seperti mana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Katakanlah : “Wahai Allah Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu..”

Ingatlah kalau Allah SWT sudah menetapkan sesuatu hak kita, sudah pasti kita akan memperolehinya tetapi kalau Allah sudah menentukan sebaliknya, buat macam mana pun jawatan atau kedudukan itu pasti tidak diperolehi.

Kesimpulannya diharapkan kerjasama PAS dan UMNO ini akan mencapai kejayaan kerana kita tidak boleh terus biarkan orang Melayu berbalah sesama sendiri kerana orang lain mengaut keuntungan. Ia sudah pun terjadi sekarang. – UTUSAN ONLINE (Komentar Zul Bakar)

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit