Anwar Bakal Perdana Menteri Paling Kabur Dalam Sejarah


Semalam Anwar Ibrahim berkata beliau menerima keputusan Dr. Mahathir ke atas lantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sebelum ini Anwar telah menggesa Dr. Mahathir untuk memberi penjelasan ke atas perlantikan Latheefa Koya.

Namun Dr. Mahathir tidak menghiraukan gesaan Anwar tersebut namun mengatakan bahawa keputusannya adalah muktamat. Anwar akur dan tunduk.

Anwar yang dulu bukanlah yang sekarang. Anwar kini mengikut sahaja Dr. Mahathir. Tidak berani lagi menyoal Dr. Mahathir walaupun ternyata beliau membuat kesalahan.

Anwar tahu kesan mengkritik Mahathir secara berdepan, mungkin lebih baik beliau menjadi lembik dan menikam sahaja dari belakang.

Perlantikan Latheefa Koya menjadi isu bukanlah sebab kelulusan dan kelayakan beliau dipersoalkan, namun sebab kecenderungan politik dan latar belakang politik beliau.

Walaupun terdapat undang-undang dan peraturan dalam SPRM, namun banyak keputusan dalam SPRM memerlukan budibicara Ketua Pesuruhjaya, terutamanya dalam hal siasatan dan pendakwaan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata: “Saya dapati apabila BPR (Badan Pencegah Rasuah) menyiasat seseorang individu, ada ketikanya tiada keputusan diambil. Ada kalanya perdana menteri (Mahathir) menunjukkan kepentingan dalam kes tertentu. Pada masa lain, siasatan akan disusuli dengan tindakan yang lebih serius iaitu pendakwaan.”

Oleh itu perkara pokok yang menjadi isu adalah: oleh kerana kaitan rapat Latheefa Koya dengan “tuan-tuan politiknya”, bolehkah beliau menjadi telus dan seimbang dalam membawa agenda membanteras rasuah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Jika melihat latarbelakang dan sejarah Latheefa Koya dengan ahli-ahli politik PH terutama yang rapat dengan Dr. Mahathir, jawapannya tentulah tidak.

Besar kemungkinan Latheefa Koya hanya akan menjadi alat politik Dr. Mahathir seperti dahulu.

Ini bukanlah kali pertama Dr. Mahathir dilaporkan menggunakan agensi pencegahan rasuah untuk kepentingan peribadi dan politiknya.

Pada tahun 1998, di bawah pemerintahan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, Anwar Ibrahim yang pada ketika itu telah menjadi seteru politik Mahathir telah didakwa dengan lima tuduhan rasuah dan salah guna kuasa melalui polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali dengan nama SPRM.

Anwar tentunya masih ingat hal ini namun kini mungkin beliau terpaksa buat-buat lupa.

Antara lima pendakwaan tersebut berbunyi berikut:

“…Bahawa kamu pada 24.5.1995 lebih kurang jam 5.30 petang, di Pejabat Menteri Kewangan, di Kementerian Kewangan, Jalan Duta, Kuala Lumpur di dalam Wilayah Persekutuan, semasa menjadi anggota pentadbiran, iaitu, menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah melakukan perbuatan rasuah berkaitan dengan siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas Setiausaha Sulit kamu, Encik Mohd Azmin bin Ali yang disyaki menerima rasuah sehingga dia telah mengumpulkan harta yang tidak munasabah berbanding dengan pendapatannya, iaitu kamu telah:

a. Campur tangan dalam siasatan itu, dan
b. Mempengaruhi Datuk Shafee bin Yahya, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah untuk menutup siasatan kes tersebut bertentangan dengan prosedur siasatan Badan Pencegah Rasuah tanpa merujuk kepada Pendakwa Raya;

Dan dengan perbuatan kamu itu, Encik Mohd Azmin bin Ali telah dilindungi daripada tindakan atau prosiding yang bersifat jenayah dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970…”.

Mahathir telah sekali lagi menggunakan kuasanya untuk “menangani” musuh politik dan menyingkirkan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri beliau selepas Musa Hitam.

Akibat tuduhan dan dakwaan di atas, Anwar telah dihukum penjara selama 6 tahun.

Secara ringkas dan efektifnya, Anwar telah dimasukkan penjara oleh Mahathir kerana melindungi Azmin. Tapi kini Azmin dilihat menyebelahi Mahathir untuk menjatuhkan Anwar pula. Anwar terkena lagi.

Jika Anwar masih tidak sedar-sedar lagi dan masih percaya kepada Mahathir, maka beliaulah bakal Perdana Menteri paling kabur dalam sejarah, lantas beliau tidak layak untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

Sebab itu sebelum ini saya cadang supaya Dr. Mahathir melantik Mat Sabu saja jadi Perdana Menteri, sebab Mat Sabu mungkin kurang kabur sikit daripada Anwar.

Selain menggunakan kuasa untuk menekan musuh politiknya, Dr. Mahathir juga pernah dilaporkan menyalahguna kuasa untuk menutup siasatan kes rasuah yang melibatkan dirinya atau orang-orang di sekelilingnya.

Terdapat akuan bersumpah di Mahkamah serta banyak laporan polis yang menyatakan berkenaan hal ini.

Pada 12 Disember 2000, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR kini SPRM), Dato’ Shafee Yahaya, telah membuat keterangan bersumpah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dr. Mahathir telah menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri dan menghalang proses keadilan dengan mengarahkan beliau (Dato’ Shafee, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah pada ketika itu) untuk menghentikan siasatan BPR terhadap kes rasuah Tan Sri Ali Abul Hassan bin Sulaiman yang pada masa itu adalah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri yang rapat dengan Dr. Mahathir.

Unit Perancang Ekonomi adalah satu unit yang amat berkuasa untuk meluluskan projek-projek besar Kerajaan.

Terdapat sejumlah 14 laporan Polis telah dibuat pada tahun 2000 berkenaan salah guna kuasa Dr. Mahathir ini.

Antara mereka yang telah membuat laporan tersebut ialah Mahfuz Omar, Tian Chua, Saifuddin Nasution dan Anwar Ibrahim sendiri.

Adakah Anwar sudah lupa akan hal ini atau tiba-tiba menjadi longlai?

Baru-baru ini Dr. Mahathir banyak membuat kenyataan retorik yang kononnya beliau menentang rasuah, dan menurut beliau kejayaan terbesar Kerajaan PH adalah membanteras rasuah.

Namun baru-baru ini Setiausaha Politik Dr. Mahathir sendiri iaitu Muhammad Zahid Md Arip telah dikaitkan dengan sembilan pertuduhan rasuah melibatkan suapan bernilai RM3 juta.

Muhammad Zahid telah dikaitkan dengan suapan sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Sekiranya Dr. Mahathir serius ingin membanteras rasuah, sepatutnya beliau membersihkan dan mengambil tindakan ke atas orang-orang rapat di sekeliling dan di pejabatnya dahulu, bukan hanya kepada musuh-musuh politik beliau.

Beberapa tahun dahulu Lim Kit Siang pernah berkata bahawa masalah rasuah di Malaysia bermula pada zaman Mahathir. Beliau berkata Mahathir mengamalkan kronisme, korupsi dan nepotisme.

Kini setelah anak beliau Lim Guan Eng dikaitkan dengan pelbagai kes rasuah beratus juta ringgit namun masih dilantik oleh Mahathir menjadi Menteri Kewangan, Kit Siang pun nampaknya lemah tengkok dan hilang kredibiliti untuk membawa isu rasuah ini.

Sebaliknya beliau tidak habis-habis cuba mengalih perhatian kepada Dato’ Seri Najib walaupun kes Dato’ Seri Najib telah dibawa ke mahkamah walhal anak Kit Siang iaitu Lim Guan Eng dilepaskan begitu sahaja.

Pada tahun 2013, hanya satu penggal setelah PH mendapat kuasa di Selangor dan Pulau Pinang dan diberikan tanggungjawab ke atas dana awam, 41 ahli politik PH telah didapati terlibat dan didakwa atas kesalahan rasuah berbanding 71 ahli politik BN.

Walaupun pada ketika itu PH baru mendapat kuasa sepenggal di hanya dua kerajaan negeri, jumlah kes rasuah di kalangan ahli-ahli politik PH tersebut adalah tinggi.

Dan seminggu selepas PH menang PRU-14 dan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua, syarikat anak Dr. Mahathir dianugerahkan kontrak berjuta ringgit oleh Telekom Malaysia iaitu satu syarikat berkenaan kerajaan.

Dr. Mahathir tentunya tidak mengaku bahawa ini adalah satu bentuk kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa walaupun hakikatnya dilihat adalah sebaliknya.

Rasuah bukan sahaja menerima suapan ke atas sesuatu keputusan awam. Kronisme dan nepotisme adalah satu bentuk rasuah dan korupsi yang lebih besar sebab ia umpama suapan itu diberikan kepada diri sendiri menggunakan dana awam atau wang rakyat. Kronisme dan nepotisme adalah kleptokrasi yang sebenar.

Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama dalam sejarah Malaysia di mana keluarganya menjadi billionaire.

Sepatutnya SPRM digunakan untuk menyemak imbang kerajaan dan kuasa Perdana Menteri, bukan untuk menghapuskan musuh-musuh politik Perdana Menteri dan melemahkan pembangkang.

Sekiranya ini terus berlaku, salah guna kuasa kerajaan dan Perdana Menteri akan lebih menjadi-jadi dan rasuah akan menjadi lebih berleluasa bukannya sebaliknya.

Semasa zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama, ramai musuh politik beliau telah dikenakan tindakan untuk menguatkan kedudukan beliau dan menghapuskan penyemak-imbang dan pembangkang.

Kini ianya berulang kembali. Pisang telah berbuah dua kali.

Semasa PRU-14, penyokong-penyokong dan pengundi PH mahukan perubahan.

Namun apa yang mereka dapat bukanlah perubahan dan Malaysia yang baharu, tetapi sebaliknya berbalik kepada regim Mahathir pada Malaysia yang lampau.

Kalau dahulu pergaduhan Mahathir-Anwar ini dibuat secara berdepan, kini ianya adalah secara perang dingin belakang-belakang.

Walau apapun, rakyat sebenarnya muak dengan episod pertembungan antara Mahathir dan Anwar ini.

Mereka berdua ini hanya mahukan kuasa tetapi tidak peduli ke atas kebajikan rakyat yang sedang sengsara.

Jika kita betul-betul mahukan Malaysia yang baharu dan serius untuk membanteras rasuah, tukarlah mereka-mereka ini.

Jika tidak, rakyat akan terus menjadi mangsa.

ISHAM JALIL

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit