“Pemimpin-pemimpin PH Yang Dulu Kuat Bantah Kini Semua Bisu,” Bidas Najib


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang kini membisu berbeza dahulunya yang lantang membantah.

Dalam hantaran di Facebook, Najib merujuk kepada usaha kerajaan PH yang sedang meluluskan projek penambakan laut Pulau Pinang Selatan, kira-kira 4,500 ekar di pulau yang kini sedang kuat dibantah oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat tempatan.

“Dulu PH bantah projek penambakan laut Melaka Gateway (608 ekar) dan Forest City Johor (3,425 ekar).

“Tapi selepas menang, kerajaan PH sedang mengusahakan projek penambakan laut yang jauh lebih besar,” katanya.

Jelasnya lagi, begitu juga laporan media yang menyatakan bahawa kerajaan PH dalam perbincangan untuk dua projek pembinaan lapangan terbang di negeri Pulau Pinang.

“Satu cadangan ialah untuk penambakan laut sebesar 5,000 hektar (12,400 ekar) di Seberang Perai.

“Satu lagi pula ialah untuk mengambil beribu-ribu hektar tanah milik pesawah-pesawah tempatan,” ujarnya.

Bidasnya lagi, ada yang terang-terang kuat menyokong projek-projek baharu ini pula. – Media UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit