Sebab Letheefa Koya Dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM

Kelmarin Perdana Menteri Tun Mahathir telah mengumumkan perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

Perlantikan ini merupakan satu perlantikan politik.

Latheefa Koya merupakan seorang peguam parti politik dan sebelum ini memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, oleh itu beliau mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin-pemimpin politik PH.

Selama ini beliau bekerja dengan firma guaman Daim & Gamany, firma guaman yang berkaitan dengan Tun Daim Zainuddin, penasihat Tun Mahathir.

Oleh itu persoalan bagaimana Latheefa Koya akan menjadi ketua penyiasat rasuah nombor satu di Malaysia tanpa pilih kasih dan berat sebelah menjadi tanda tanya yang besar.

Mungkin sebab ini perlantikan beliau tidak melalui jawatankuasa pemilihan Parlimen seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto Pilihanraya PH.

Perdana Menteri Tun Mahathir berkata perlantikan ini adalah pilihan dan keputusan beliau sendiri.

Adakah selepas ini Latheefa akan menyiasat kes-kes rasuah besar yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik atau Menteri-menteri PH terutamanya yang rapat dengan Tun Mahathir seperti Azmin Ali, Lim Guan Eng, Shafie Apdal, Tun Daim atau Tun Mahathir sendiri dan kroni-kroninya?

Perlantikan ini juga dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan tempoh kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini iaitu Dato’ Seri Shukri Abdul masih belum tamat sehingga tahun depan.

Tun Mahathir berkata Shukri sendiri yang mahu meletakkan jawatan, dan Shukri pula berkata yang kerjanya sudah selesai, namun demikian kes Dato’ Seri Najib masih belum tamat oleh itu tugas Shukri sebenarnya masih tergantung.

Dan sesiapa yang pernah bekerja atau memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan tahu yang tiada sesiapa yang akan melepaskan jawatan tingginya di tengah-tengah tempoh kontraknya jika tiada masalah atau beliau tidak dipaksa.

Tambahan lagi apabila seseorang itu pencen, punca pendapatannya akan hilang sehingga lebih separuh.

Oleh itu, kenyataan Tun Mahathir dan Shukri ini langsung tidak masuk akal dan umpama cuba memperbodoh-bodohkan rakyat.

Persoalannya, mengapa Shukri “dibuang” dan digantikan, dan mengapa kini, dan mengapa Latheefa?

Perkembangan kes Dato’ Seri Najib di mahkamah kini semakin tidak menyebelahi Kerajaan.

Pihak pendakwaraya dan SPRM di bawah Shukri masih tidak dapat mengemukakan bukti kukuh bahawa Dato’ Seri Najib bersalah.

Mungkinkah Shukri tertekan dan ditekan oleh Tun Mahathir kerana tidak berjaya untuk mencari bukti yang sebenarnya tiada untuk mensabitkan Dato’ Seri Najib sehingga beliau (Shukri) terpaksa meletakkan jawatan atau diarah berhenti setahun sebelum tempoh kontraknya tamat?

Pada tahun lepas seminggu selepas Tun Mahathir melantik Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya pernah membuat kenyataan yang disiarkan di akhbar menggesa Shukri untuk meletakkan jawatan kerana beliau prejudis terhadap kes Dato’ Seri Najib dengan kenyataan-kenyataan yang mengiaskan Dato’ Seri Najib telah bersalah walaupun siasatan masih belum bermula ke atas bekas Perdana Menteri tersebut.

Kini Shukri telah akhirnya meletakkan jawatan, namun bukan oleh sebab beliau prejudis, namun mungkin sebab beliau tidak kompeten di mata Tun Mahathir untuk mensabitkan Dato’ Seri Najib secepat mungkin.

……..

Walaupun Latheefa Koya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, beliau bukanlah orang Anwar Ibrahim, sebaliknya beliau menentang kem Anwar Ibrahim serta penyokong-penyokong kuat Anwar seperti Rafizi Ramli.

Pada pemilihan PKR baru-baru ini, Latheefa pernah membuat kenyataan bahawa berlaku rasuah dan politik wang dalam kem Anwar Ibrahim iaitu yang melibatkan Rafizi Ramli yang dibelakangi Anwar semasa kempen pertandingan Timbalan Presiden PKR.

Latheefa menyokong Azmin Ali yang dibelakangi Tun Mahathir.

Kini apabila Latheefa adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, adakah beliau akan mengambil tindakan ke atas kesalahan-kesalahan rasuah politik kem Anwar Ibrahim tersebut seperti yang beliau (Latheefa) bangkitkan sebelum ini?

Sejarah berulang. Nampaknya kali ini lidah bercabang Tun Mahathir membawa salah satu lagi agenda bercabang serampang dua mata iaitu selangkah lagi ke arah menghapuskan Najib dan Anwar untuk beliau (Mahathir) terus berkuasa menjadi Perdana Menteri atau meletakkan proksi beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Dan bak kata Mat Sabu, “bila dua gajah bergaduh, rumput menjadi mangsa”.

Dalam kes ini dua gajah itu ialah bos-bos beliau sendiri iaitu Mahathir dan Anwar, dan rumput itu adalah rakyat.

Dan DAP memerhati gembira.

Kepada Tun Mahathir. Baik letak Mat Sabu sahaja jadi Perdana Menteri PH. DAP pun suka dia.

ISHAM JALIL

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.