Aidilfitri : Kembali Kepada Fitrah Perjuangan

AIDILFITRI ialah hari anugerah dan penghargaan daripada Allah SWT kepada umat Islam sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa di madrasah Ramadan.

Berdoa, bertakbir, bertahlil, bertahmid dan bertasbih dizahirkan sebagai tanda syukur atas nikmat Aidilfitri.

Ucapan Aidilfitri adalah satu doa agar dalam menyambut Aidilfitri kita berusaha kembali kepada fitrah kejadian dan penciptaan manusia.

Asal kejadian manusia dan alam semesta dalam sifat fitrahnya, bersih dan asli, tertib dan tersusun kemas mengikut kehendak Allah SWT sebagai salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Kalimah fitrah dalam al-Qur’an terdapat pada 19 ayat, antaranya ayat 30 surah al-Rûm Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan dalam ciptaan Allah, (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

Selayaknya apabila berakhirnya Ramadan jiwa dan diri kita berubah ke arah yang lebih baik. Amalan bermaaf-maafan, kunjung-mengunjung, menzahirkan nilai ukhuwah, berkasih-sayang, mahabbah dan mawaddah adalah manifestasi Aidilfitri.

Ketika kita bergembira di Aidilfitri bersama keluarga, sanak-saudara, sahabat handai jangan dilupai nasib yang menimpa saudara seakidah kita di Palestin, Syria dan Yaman.

Mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan berduka dan ketakutan, rumah ranap dimusnahkan, keperluan asas tidak mencukupi malahan terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri.

Mereka hanya dapat mendengar atau melihat kegembiraan yang dinikmati oleh orang lain sedangkan mereka tidak dapat membayangkan erti kegembiraan Aidilfitri yang sebenar.

Baru-baru ini, ketika menerima kunjungan hormat bekas Ketua Hamas, Khaled Mashal di kediaman saya, banyak isu-isu berkaitan umat Islam dibincangkan. Pertemuan ini merupakan pertemuan ketiga selepas dua kunjungan pada tahun 2013 dan 2015.

UMNO tetap komited dan mendokong sebarang usaha yang dilakukan Hamas bagi mewujudkan keamanan di Palestin.

Walaupun sudah tidak memerintah, kunjungan ini menandakan keakraban persahabatan yang terjalin sekian lama antara UMNO dan Hamas mengatasi kuasa dan politik.

Sejarah perjuangan pembebasan Palestin adalah satu catatan perjuangan yang panjang.

Kemenangan tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Salahudin al-Ayubi mengalahkan tentera Salib dalam Perang Hittin di sempadan Laut Mati pada Julai 1187 masihi menjadi pencetus kepada pembebasan Baitul Maqdis pada Oktober 1187 masihi.

Pembukaan kota Baitul Maqdis yang pertama adalah pada tahun 637 masihi di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a.

Sejak itu Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Kerajaan Islam selama 462 tahun sehinggalah dirampas oleh tentera Salib pada tahun 1099 masihi.

Dalam Perang Hittin pada Julai 1187 masihi, tentera Islam seramai 30,000 orang berjaya mengalahkan Tentera Salib. Salahudin al-Ayubi mengambil inisiatif mencontohi cara Umar al-Khattab ketika beliau berusaha menakluki kawasan tersebut pada zaman awal Islam.

Sebaik berjaya di Hittin, Salahuddin al-Ayubi meminta penduduk Baitul Maqdis menyerah diri tanpa pertumpahan darah dan berjanji akan menjaga keselamatan mereka.

Tawaran damai Salahuddin al-Ayubi ditolak mentah-mentah oleh tentera Salib.

Melihat keangkuhan mereka, Salahuddin al-Ayubi bersumpah akan membebaskan Baitul Maqdis dengan mata pedang.

Tentera Islam mengepung dan menyerang. Akhirnya pemimpin kota Baitul Maqdis menghadap Salahuddin al-Ayubi untuk berunding seraya Salahuddin al-Ayubi menyindir, “Kenapa perlu aku berunding dengan kota yang telah aku tawan?”

Akhirnya Salahuddin al-Ayubi bersetuju menerima penyerahan Baitul Maqdis dengan aman.

Walaupun orang Islam dibunuh dengan kejam apabila Tentera Salib menawan Baitul Maqdis pada tahun 1099 masihi, Salahuddin al-Ayubi tidak berdendam malah menjanjikan keselamatan diri kepada semua penduduk kota Baitul Maqdis apabila tentera Islam berkuasa, tiada seorang pun akan dibunuh.

Setelah lebih 800 tahun selepas Sultan Salahuddin al Ayubi membebaskan kota Baitul Maqdis, rakyat Palestin dan umat Islam masih menunggu siapakah gerangan Salahuddin al-Ayubi seterusnya yang dinanti-nantikan.

Tiga nokhtah penting daripada peristiwa pembebasan Palestin 1187 masihi yang boleh dijadikan rujukan dalam perjuangan:

• Perundingan adalah fitrah dalam perjuangan, pintu perundingan sentiasa terbuka, namun kita perlu memastikan perundingan yang dilakukan meletakkan kepentingan Islam dan negara sebagai keutamaan. Tiada perundingan jika merugikan dan berat sebelah. Pintu perundingan UMNO PAS sentiasa terbuka untuk kepentingan ummah.

• Bertindak apabila dipersendakan adalah fitrah dalam perjuangan. Harga yang mahal perlu dibayar dalam perjuangan apabila dipersendakan dan dipandang rendah. Tindakan yang diambil bukan untuk menghukum tetapi untuk memberikan pengajaran kepada si pelaku dan menggentarkan jiwa mereka.

• Meraikan keamanan adalah fitrah perjuangan. Termasuk mengelak daripada mencetuskan ketegangan, mencabuli hak asasi manusia dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa. Keamanan merentasi agama, bangsa dan usia.

Melalui episod pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi sebagai teladan, kita menyakini bahawa kota ini akan sekali lagi dibebaskan oleh umat Islam. Nasib yang menimpa rakyat Palestin semenjak sekian lama akan terus diperjuangkan.

Sempena dengan Aidilfitri tahun ini marilah kita kembali kepada fitrah perjuangan, menolak segala bentuk anasir-anasir dan fahaman yang bertentangan dengan fitrah insani. Marilah kita semai roh perjuangan Salahuddin al-Ayubi. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

#demiummah
#akhiratdidepan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit