Adakah Kes Muhammad Adib Akan Berakhir Dengan Keadilan?

KANGAR 29 Mei – Arahan agar peguam Syazlin Mansor menarik diri pada saat akhir inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim menimbulkan persoalan sama ada kes itu bakal berakhir dengan memberi keadilan kepada anggota bomba tersebut atau sebaliknya.

Ramai yang kesal dengan arahan tersebut kerana semua sedia maklum sebelum ini bahawa peguam berkenaan begitu tegas dalam mencari keadilan untuk Muhammad Adib.
Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Noor Mohammed meminta kerajaan memberi penjelasan terperinci berhubung perkara tersebut dengan tidak menyembunyikan sesuatu kepada rakyat.

Katanya, perlu diingat, kes Muhammad Adib adalah sensitif dan boleh mengundang kemarahan rakyat di negara ini sekiranya tidak dikendalikan dengan seadil-adilnya.

Ujar beliau, rakyat berhak tahu mengapa Syazlin diarahkan supaya menarik diri kerana situasi tersebut berlaku secara tiba-tiba.

“Muhammad Adib perlu mendapat pembelaan seadil-adilnya dalam kes ini. Rakyat Malaysia mengikuti rapat perkembangan kes ini dan ingin melihat pelaku yang mengakibatkan kematian anggota bomba itu dibawa ke muka pengadilan.

“Itu adalah harapan bukan sahaja keluarga Muhammad Adib tetapi seluruh rakyat Malaysia. Jadi, kerajaan perlu mengendalikan kes ini dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Syazlin membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri daripada terus mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikaitkan dengan arahan ‘tangan ghaib’.

Hal demikian kerana difahamkan ada surat arahan oleh pihak tertentu selepas peguam itu dikatakan tegas dalam mencari keadilan untuk Muhammad Adib.

Susulan penarikan tersebut, Menterinya, Zuraida Kamaruddin memaklumkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues berkenaan kerana Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri akan mewakili kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman , USJ, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN). – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit