Tidak Bersalaman Dengan Sultan Johor Serlah Ketidakmatangan Mukhriz, Malukan Rakyat Kedah

ALOR SETAR, 24 Mei – Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak bersalaman dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika sama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, semalam dikecam hebat malah ia digambarkan memalukan rakyat Kedah.

Bagi penganalisa politik Kedah, Syed Agil Syed Azizi, sikap Mukhriz amat memalukan dan secara tidak langsung menggambarkan ketidakmatangan dirinya.

“Malunya orang Kedah ada pemimpin macam Mukhriz. Harapnya belajarlah semacam pemimpin Rantau, cantik bahasanya, berhias kata-katanya. Adat idak lekang dek paneh, idak lapuk dek hujan… dianjak idak layu, dicabut idak mati, sapucuk ka ateh, saurat ka bawah, bapucuk bulat, baurat tunggal. Syara’ mendaki, adat menurun, syara’ mangato, adat memakai.

“Bertindak biar berlaras, tepung tak berselerak di talam, berpolitik jangan sampai hancur adat budaya. Sebagai seorang Menteri Besar, amat tidak molek dia menunjukkan kelakuan sedemikian apatah lagi kepada golongan Raja.

“Dia seakan mengajar rakyat Kedah untuk bersikap biadap dan kurang ajar,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Untuk rekod, hari ini Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi video yang memaparkan Mukhriz tidak bersalaman dengan ayahandanya.

Video tersebut juga tular di media sosial dan rata-rata natizen mengecam tindakan Mukhriz.

Dalam video 14 saat itu, Mukhriz dilihat hanya menyembah Sultan Johor tetapi berlalu tanpa menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Baginda.

Mukhriz bagaimanapun dilihat bersalaman dengan pihak lain dalam barisan Sultan-Sultan dan kerabat selepas itu.

Sultan, kerabat dan pemimpin-pemimpin negara semalam hadir ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Sultan Abu Bakar yang mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.