Kenyataan Maulizan Tidak Mewakili Akar Umbi – Pemuda Tebrau
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua Pemuda UMNO Tebrau, Fauzi Faizal berkata kenyataan Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Maulizan Bujang berhubung Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus teruskan bercuti dan tidak kembali mengepalai UMNO tidak mewakili suara akar umbi UMNO bahagian tersebut.
Memetik kenyataannya menerusi Facebook beliau, Fauzi menjelaskan tiada keperluan untuk mengganggu Presiden yang sedang bercuti dari jawatan Presiden dan telah pun serahkan tugas Presiden kepada Timbalannya.
Malah jelas beliau lagi pada ketika ini isu kedudukan Presiden ataupun peribadi Datuk Seri Ahmad Zahid tidak menjadi masalah besar buat UMNO sehingga perlu melakukan provokasi jahat menghasut dan memecahbelahkan perpaduan dalam UMNO.
“UMNO kini sedang dalam fasa kebangkitan dari kecelaruan kepimpinan selepas kekalahan dalam pilihanraya dan juga pemilihan UMNO. Kenyataan provokasi sebegini hanya akan menyebabkan UMNO kembali ke fasa kecelaruan kepimpinan, bukan maju ke hadapan.
“Fokus utama sebagai Ketua Bahagian adalah memberi khidmat bakti kepada rakyat di Tebrau agar UMNO kekal relevan berbanding Pakatan Harapan,” katanya.
Menerusi ciapannya di Facebok, Fauzi turut melontarkan beberapa cadangan isu yang boleh diperjuangkan oleh Datuk Maulizan antaranya isu tekanan yang diberikan kepada Istana Johor, isu Ketua Kampung lantikan PH di Parlimen Tebrau serta su penggunaan balairaya yang dihalang oleh PH di Tebrau terutamanya di Puteri Wangsa.
“Selain itu isu perpecahan team dalam PPBM Johor yang melibatkan ADUN Puteri Wangsa, isu bekas Exco Kerja Raya, YB Mazlan Bujang dan pegawainya, isu-isu lokal di DUN Puteri Wangsa dan Tiram serta isu-isu nasional seperti isu Matrikulasi, Statut Rome, hutang negara meningkat, penjualan aset-aset dan lain-lain,” ujarnya.
Tegasnya lagi hentikan menggunakan media menyampaikan naratif politik peribadi dan ianya tindakan tidak bertanggungjawab.-MediaUMNO