Bekas Adun Penanti Meninggal Dunia

BUKIT MERTAJAM,19 Mei – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Datuk Ahmad Saad, 68, meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini awal pagi tadi.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata Allahyarham yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi.

“Jenazah dibawa ke rumahnya di Jalan Baru di sini, dan disolatkan di Masjid Jalan Baru sebelum di kebumikan kira-kira pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang,” katanya di sini hari ini.

Allahyarham menghidap angin ahmar sejak lapan tahun lalu dan kesan daripada penyakit itu menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan serta terlantar di rumahnya di Jalan Baru, di sini.

Mohd Zaidi berkata selain menjadi ADUN Penanti dari 1991 hingga 1995 Allahyarham juga pernah menjadi ADUN Permatang Pasir pada 1995 hingga 1999) , bekas Ketua UMNO Permatang Pauh dan turut pernah menjadi Exco Pemuda UMNO.

Allahyarham berasal dari Kampung Bukit Indera Muda, Kubang Semang di Permatang Pauh dan pernah menjadi pegawai daerah Bukit Mertajam dari tahun 1976 hingga 1978.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit