UMNO 73 Tahun: Sama-samalah Muhasabah Diri, Terus Istiqamah Bersama Parti
MELAKA, 9 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengajak ahli-ahli UMNO untuk bermuhasabah diri tatkala kalah ini kerana banyak hikmah yang boleh diambil dan terus istiqamah untuk menuju ke pilihan raya nanti.
Katanya, ahli-ahli UMNO haruslah membuka seluas-luasnya ruang kepada semua agar mereka tahu apa perjuangan UMNO yang sebenarnya.
“UMNO penuh dengan sejarah dan perjuangan, membebaskan negara kita dari penjajahan, sehinggalah kita diajar mengenal erti kekalahan pada 9 Mei lalu.
“Sesungguhnya selama 60 tahun mentadbir urus negara UMNO telah berjaya membawa kejayaan dan keharmonian yang lebih baik bagi kelangsungan sebuah perjuangan, tetapi hikmah yang kita terima dari keputusan pilihan raya lalu itu telah mengajar kita untuk mengenal erti perjuangan yang lebih jauh mengikut suasana dan keadaan waktu ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Tegasnya, ini perlu bersesuaian dengan waktu ini ke arah untuk membawa UMNO berubah lebih jauh dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
“UMNO harus menilai semula perjuangan dalam konsep kuasa yang kita amalkan selama ini. Kita dituntut untuk berubah. Nilai semula perjuangan mengikut masa dan keadaan untuk kita wariskan UMNO ini kepada generasi yang seterusnya.
“UMNO hendaklah memberikan ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk mengiringi masa depan setelah melalui pancaroba selama 73 tahun penubuhannya dan lebih 60 tahun sebagai urus tadbir kerajaan.”
Sehubungan itu, beliau meminta kepada semua ahli-ahli UMNO agar jangan melihat kedudukan ahli-ahli dalam ‘kotak’ sahaja.
“Dengan hanya jumlah ahli UMNO sahaja tak cukup untuk kita mengambil Putrajaya pada PRU akan datang. Mereka di luar kotak itu jauh lebih ramai yang akan menentukan nasib perjuangan UMNO,” katanya lagi. – MediaUMNO