Setahun Yang Gagal, Gred E Untuk Kerajaan PH

SETAHUN yang berlalu adalah sesuatu yang sia-sia dan sangat mengecewakan buat rakyat Malaysia apabila Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan kerajaan. Menutup segala kelemahan mereka maka manifesto dikatakan bukan kitab suci dan sudah pasti ia menjurus kepada tindakan kerajaan PH yang enggan menunaikan segala janji yang telah disebut serta digariskan dalam manifesto mereka atas nama “Membina Negara Memenuhi Harapan”.

Berikut adalah beberapa janji Pakatan Harapan yang tidak dilaksanakan meskipun mereka telah berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei 2018 yang lalu.

KOS SARA HIDUP & GST

Antara intipati kandungan manifesto ini termasuklah janji Pakatan Harapan untuk mengurang kos sara hidup dan menghapuskan GST. Meskipun pemansuhan GST telah dibuat dengan melaksanakan semula SST namun yang pasti bukan sahaja harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat malah kos sara hidup terus membeban dan meresahkan rakyat.

PETROL, TOL & AES

Janji Pakatan Harapan untuk menurunkan harga petrol pada kadar RM 1.50 masih belum terlaksana malah sistem semakan harga secara mingguan oleh kerajaan terdahulu diguna pakai semula cuma hari pengumuman sahaja yang ditukar. Manakala harga petrol Ron97 terus meningkat tanpa ada sebarang tanda-tanda penurunan harga bagi bahan bakar tersebut.

Kekecewaan rakyat berterusan apabila harapan tol dimansuhkan hanya sekadar menjadi bahan kempen PH dalam PRK di Semenyih. Bukan sahaja kerajaan PH gagal menunaikan janji mereka untuk menghapuskan tol sepenuhnya malah dibentangkan “cadangan” bahawa 4 lebuhraya bandaran iaitu LDP, KESAS, SPRINT dan Terowong SMART dikecualikan bayaran pada waktu malam sahaja iaitu 11.00 p.m. hingga 5.00 a.m. Walaubagaimanapun Kerajaan PH berjaya menghapuskan “nama” bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi mengekalkan sistem ini dengan nama baru iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas). Demi untuk mengekalkan sistem saman yang ditukar nama ini dengan menafikan segala janji untuk menghapuskannya maka ia telah dikaitkan dengan memenuhi dan menepati apa yang terkandung di dalam maqasid syariah.

PTPTN, 1 JUTA PEKERJAAN & GAJI MINIMUM

Antara janji yang paling menarik perhatian golongan muda ialah penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan. Setelah Pakatan Harapan mendapat kuasa, semua ini hanyalah sekadar janji kosong dan dalam masa yang sama Kerajaan PH memberikan peringatan tegas kepada peminjam PTPTN bahawa hutang perlu dijelaskan. Sementara itu tawaran 1 juta peluang pekerjaan turut dinantikan oleh graduan lepasan universiti namun kadar pengangguran jelas begitu tinggi dan masih ramai yang tercari-cari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan serta kelayakan mereka.

Dalam soal gaji minimum RM1500 pula Kerajaan PH tidak berupaya untuk melaksanakannya kerana pelbagai kekangan yang wujud dan ia memberi pengajaran besar kepada mereka bahawa mentadbir tidak semudah bercakap kosong ketika berada di atas pentas politik.

NASIB PENEROKA & HARGA KOMODITI

Menghapuskan hutang peneroka felda bukan sahaja janji kosong yang tidak tertunai, nasib peneroka dan pekebun kecil hari ini menjadi lebih perit dan tertekan apabila harga komoditi sawit serta getah terus jatuh dan masih tidak stabil. Kenyataan seperti menoreh musim hujan, tanam nenas dan buluh hanyalah sekadar pandangan yang tidak berasas dan ia diberi oleh mereka yang bergelar menteri bagi kerajaan PH.

Apakah sesuatu cadangan yang diutarakan itu telah mengambil kira kajian secara terperinci terutama dalam soal kesesuaian tanah serta pandangan pakar-pakar yang berkaitan dalam perusahaan komoditi tersebut ? Hakikatnya ia bukanlah satu plan yang baik untuk diimplementasikan.

PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA

Pakatan Harapan turut berjanji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kononnya wujud skandal terhadap Felda, Mara, Tabung Haji dan 1MDB namun apa yang berlaku hari ini mereka gagal untuk mewujudkan suruhanjaya tersebut sebaliknya menggunakan pendekatan menghukum secara meragukan terutamanya dalam kes berkaitaan dengan Tabung Haji. Bukan sahaja kontroversi individu bukan Islam dikaitkan dalam Prokhas Sdn. Bhd. menjadi pertikaian malah Hibbah yang diterima oleh penyimpan di Tabung Haji turut bertukar menjadi “HIBA” kerana hanya menerima 1.25 % dan ia adalah yang terendah dalam sejarah Tabung Haji.

Terdapat banyak lagi janji manifesto yang tidak terlaksana telah mengecewakan harapan rakyat dan segala kegagalan Kerajaan PH dalam menunaikan janji manifesto mereka mengingatkan saya kepada hadith Nabi Muhammad Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

“Tidaklah seseorang pemimpin yang diberi kekuasaan oleh Allah SWT untuk memimpin rakyat, kemudian meninggal dalam keadaan menipu rakyat melainkan bau syurga yang diharamkan baginya”

KESIMPULAN

Secara keseluruhanya menilai dan meneliti tahap prestasi serta pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan selama setahun mentadbir dan menguruskan negara, bolehlah untuk saya memberikan tanda aras E sebagai gred pengukuran bahawa Kerajaan PH adalah GAGAL. Bagi sebuah kerajaan yang berwibawa mereka harus mewujud dan melaksanakan pelbagai dasar-dasar yang komprehensif dan polisi ekonomi yang kompetetif untuk memastikan negara Malaysia terus ditadbir serta dipacu dengan baik khususnya dalam mendepani cabaran di peringkat global. Namun semua itu sama sekali tidak kelihatan dan gagal dizahir serta diterjemahkan oleh mereka.

Walaupun selepas setahun PH mentadbir negara, nilai matawang negara menjadi semakin tidak menentu bukan sahaja berbanding dengan nilai Dolar Amerika malah mata wang sekitar rantau Asia Tenggara melonjak dalam keadaan yang semakin mengukuh manakala ringgit terus dengan prestasi yang tidak memberangsangkan. Situasi ekonomi yang semakin teruk dengan indeks saham terus merosot dan pelabur asing pula berterusan menarik dana keluar dari Malaysia menunjukkan kepada kita bahawa Kerajaan PH pada hari ini telah gagal dan tidak berupaya mengurus ekonomi negara dengan baik. Dalam laporan Bloomberg juga telah menunjukkan betapa Bursa Saham negara telah dinaikkan kedudukan dari ‘sole loser” di Asia menjadi bursa paling teruk dalam dunia untuk tahun 2019.

Manakala Jabatan Perangkaan Negara pula telah mengeluarkan Indeks Pelopor (IP) untuk bulan Februari 2019 dan ia jelas menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara terus lembap untuk bulan-bulan yang mendatang. Malah dalam tempoh 9 dari jumlah 10 bulan yang dibuat pemantauan, indeks ini terus mengalami penyusutan selepas dari waktu Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Sinario ini dilihat semakin parah apabila Kerajaan PH terus mengambil jalan mudah dengan menjual aset milik Khazanah Nasional antaranya IHH Bhd, sejumlah saham Bank CIMB dan BDO Unibank (Filipina), sejumlah saham TNB dan lain-lain lagi. Semua tindakan ini menjadi persoalan yang tidak terjawab dari sudut tujuan serta keperluannya.

Sekiranya benar kerajaan PH berhasrat untuk meringankan segala beban rakyat, maka mereka perlu berusaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing bagi membaik pulih ekonomi negara dan melaksanakan plan strategik untuk mengurus serta mengawal kenaikan kos sara hidup.

Skrip yang direka kononnya negara ini hampir bankrap demi untuk menebus dosa kerajaan PH yang gagal mengurus ekonomi dan menunaikan janji manifesto bukanlah satu tindakan yang bijak. Ini kerana alasan seumpama ini pastinya menghilangkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia. Ditambah pula dengan kenyataan yang berbeza-beza oleh kepimpinan kerajaan PH sendiri terutama dalam soal jumlah hutang negara dan ramai pakar ekonomi yang menyelar tindakan tersebut.

Sementara itu, pasti ramai yang terfikir sewaktu kerajaan terdahulu menjalinkan kerjasama dengan China yang melibatkan jumlah pelaburan yang begitu besar maka pimpinan Pakatan Harapan telah membuat tuduhan kononnya kita telah menjual negara kepada China. Walaubagaimanapun bila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan maka segala tuduhan tersebut telah bertukar dan usahasama Malaysia dengan kerajaan serta syarikat China dikatakan satu pelaburan yang sangat strategik.

Projek Bandar Malaysia, ECRL dan Taman Perindustrian Berkembar Kuantan-Qinzhou (MCKIP & CMQIP) diteruskan malah pemilikan Proton Geely telah kembali menjadi kereta nasional dan kebanggaan negara hanya apabila Pakatan Harapan yang memerintah negara ini.

Selain itu juga, Pakatan Harapan turut dilihat sebagai sebuah kerajaan yang hanya mampu melakukan penjenamaan semula berbanding mengutara idea atau produk baru. BRIM, UTC, RTC, PERMATA, Klinik 1 Malaysia dan banyak lagi projek dan kemudahan milik kerajaan terdahulu ditukar nama baru. Jika dahulu kita membela dan membantu rakyat dengan menyediakan BRIM, namun hari ini ia telah diganti kepada Bantuan Sara Hidup yang terlalu rendah nilai dan jumlah agihan bantuannya. Tiada sebarang identiti sendiri yang mampu kerajaan PH hasilkan.

Puas diselak akhirnya ada satu produk baru yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan PH namun ramai yang terpaksa menepuk dahi apabila projek “kereta terbang” berserta prototaipnya dibentangkan. Hakikatnya setahun berlalu mereka masih lagi asyik dibuai mimpi indah sedangkan rakyat terus dihimpit dengan kesengsaraan. Maka wajarlah Gred E untuk kerajaan Pakatan Harapan yang gagal.

YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi

#DemiUmmah
#AkhiratDiDepan
#RamadhanKareem

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit