Pelbagai Ujian Menanti Penyatuan Ummah, Hayati Sejarah Tamadun Andalus – Dr Shamsul


JOHOR BAHRU, 2 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelbagai ujian akan menanti berhubung usaha dan kerjasama penyatuan ummah antara parti itu dengan PAS yang hari ini semakin memperlihatkan sinar, sekaligus menyebabkan pihak-pihak tertentu tidak senang duduk melihat kepada momentum berkenaan.

Menurut beliau, lantaran itu tidak pelik timbul pelbagai kenyataan demi kenyataan berhubung kerjasama berkenaan seperti ‘Taliban’ dan sebagainya terutama selepas beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini  yang menyaksikan kejayaan kepada Barisan Nasional (BN).

“Dalam usaha membina kekuatan ini kita akan sentiasa diuji dan akan sentiasa menerima cabaran. Insya-Allah kita akan menjadi gandingan terbaik. UMNO dengan gerak kerjanya menerusi rakan-rakan komponen di dalam BN terus diperkuatkan dan begitu jugalah PAS dengan rakannya yang lain.

“Ingin kita jelaskan sekali lagi…bukannya mana-mana parti dibubarkan dan sebagainya. Sebab itu apabila kita menang dalam beberapa PRK ianya menggusarkan Dap..lantas keluar macam-macam seperti ‘Taliban’ dan pelbagai kenyataan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Penyatuan Ummah Negeri Johor, di Kompleks Mohamad Rahmat, di sini, Rabu malam.

Ceramah tersebut turut menampilkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Haji Mohamad,Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Penolong Setiausaha PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Shamsul seterusnya menegaskan 60 tahun BN memerintah sebelum ini konsep keadilan bukan sahaja ditekankan malah ditingkatkan apabila semua kaum mendapat keadilan yang sewajarnya malah tidak timbul sebarang diskriminasi antara kaum dan juga agama.

Tegasnya lagi begitu jugalah PAS yang memerintah negeri Kelantan hampir 30 tahun dan memerintah Terengganu dan Kedah seketika pada waktu dahulu yang mana tidak timbul juga sebarang permasalahan yang melibatkan antara kaum malah jauh sekali soal diskriminasi.

“Kita tidak pernah terfikir dua parti terbesar orang Melayu dapat bersama dan Insya-Allah kita menjadi parti terbaik… tawarkan terbaik untuk rakyat di negara ini. Kalah Pilihan Raya Umum (PRU) lalu Allah beri rahmat dua parti ini bersama dan Insya-Allah kita akan terus bersama.

“Hampir berlinang air mata saya tuan-puan ketika menyambut tangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di lobi Menara Dato’ Onn untuk membawa beliau naik ke tingkat  lapan di mana menantinya di sana ialah Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kita bermesyuarat ,” ujarnya.

Shamsul seterusnya mengimbau sejarah Tamadun Andalus yang mana pada satu ketika cukup hebat, namun tamadun berkenaan hanya bertahan lapan abad sahaja kerana beberapa sebab antaranya orang Islam berpecah.

Tambahnya lagi sejarah berkenaan harus menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara ini.

“Allah SWT uji kita dengan kekalahan dan jika kita tidak sedar dan tidak mahu bersatu tunggulah akibatnya. Kita perlu lihat di depan kita…banyak isu rakyat yang perlu diperjuangkan dan saya yakin kita boleh menjadi lebih baik daripada mereka (Pakatan Harapan).  Kepada seluruh rakyat Malaysia janganlah gusar sama ada di semenanjung baik Sabah mahupun Sarawak kita akan memberikan yang terbaik kepada semua,” tambahnya.

Terdahulu sebelum itu, pada sidang medianya Shamsul memberitahu Ceramah Perdana Penyatuan Ummah telah menjelajah ke beberapa buah negeri dan dalam minggu ini empat lagi negeri yang akan dikunjungi serta akan berakhir pada 5 Mei di Pahang.

Menurut beliau ianya adalah sebagai salah satu usaha yang dibuat secara bersama untuk memperjelaskan isu-isu nasional dan juga negeri yang berlegar di kalangan rakyat pada waktu ini dengan tujuan untuk menjawab serta memperjelaskan isu-isu penting supaya rakyat  khususnya ahli di kalangan kedua-dua parti benar-benar memahami intipati dan fakta sebenar.

“Terutamanya melibatkan apa yang diutarakan oleh kerajaan ketika ini. Jadi ia akan kita teruskan dan kita juga ada bengkel ketika turun di peringkat negeri dalam usaha kita memantapkan jentera parti,” tambahnya.

Turut serta pada sidang media tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Haji Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin serta pimpinan kedua-dua peringkat lain. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit