Statut Rom: Menteri PH Gelar ‘Profesor Kangkung’ Kepada Ahli Akademik Sangat Menghina – Reezal Merican


KUALA LUMPUR, 24 April – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas tindakan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah yang memberi gelaran ‘Profesor Kangkung’ kepada sekumpulan ahli Akademik ekoran pandangan tidak selari dengan kerajaan dalam isu Rome Statute yang dianggap sangat menghina dan tidak wajar.

Katanya, dalam keghairahan Menteri Luar memberi penerangan mengenai kegagalan kerajaan mendapat ‘sokongan’ ramai dalam isu Rome Statute maka ianya tidak wajar sampai ke tahap rendah akhlak seperti ini.

“Sebagai seorang yang sangat dikenali sebagai aktivis ‘civil society’ dan kebebasan bersuara, Menteri Luar sudah menyanggah prinsip dirinya sendiri. Kegagalan menghormati pandangan orang lain ini seperti ini cukup mengecewakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, terimalah hakikat, Menteri Luar Negeri sendiri, pada hakikatnya, telah gagal sama sekali membentuk ‘public opinion’ yang positif dalam isu Rome Statute dan ICERD.

“Ini kegagalan yang bukan kecil malah memalukan seluruh pimpinan kerajaan dan anggota kabinet.

“Oleh yang demikian, kerja propaganda media yang sedang giat dilaksanakan ketika ini, hanyalah ikhtiar ‘menjaga air muka’ Menteri yang kecewa dan gagal.”

Terang beliau, hanya sebuah daripada 10 anggota ASEAN yang meratifikasi Rome Statute sedangkan lebih separuh daripada negara anggota (yang mempunyai kuasa veto di dalam UNSC) mengambil pendirian sama dengan banyak negara di dunia yang masih tidak menganggotai ICC.

“Apakah semua negara yang enggan menandatangani Rome Statute dan meratifikasinya bersifat ‘kangkung’ dan lemah?

“Saya mengesyorkan Menteri Luar tidak mengambil sikap ‘syok sendiri’ dan ego di dalam isu ini. Jangan ujub dengan kedudukan. Akui kelemahan. Kita harap tiada niat menghina Majlis Raja-Raja di dalam siri penerangan Rome Statute ini. Keputusan telahpun dibuat. Sila hormat pendirian para Duli Tuanku dan hentikan sesi penerangan yang bersifat “self-centric” ini,” tegas beliau lagi.

Dilaporkan, semalam Saifuddin dipetik berkata kerajaan masih belum mengalah dalam usaha meratifikasi Statut Rom Jenayah Mahkamah Antarabangsa (ICC) meskipun terdapat pihak yang cuba memanipulasi perjanjian tersebut termasuk ‘profesor kangkung’. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit