Saham Jatuh, Ringgit Susut… Bukan Setakat Rakyat, Pelabur Pun Dah Bosan Alasan PH ‘Ini Semua Salah BN’

KUALA LUMPUR, 18 April – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhenti bermain politik kerana kenyataan demi kenyataan pakar ekonomi jelas menunjukkan kebimbangan mereka mengenai kedudukan ekonomi negara.

Katanya, selain rakyat, pelabur juga sudah bosan dengan alasan ‘ini semua salah Barisan Nasional (BN)’.

“Kedua-dua artikel dari Bloomberg dan kenyataan dari FTSE Russell memberi penekanan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang telah menyebabkan hakisan keyakinan pelabur.

“Seperti yang banyak kali saya sebutkan, ini bukanlah mengejutkan kerana sehingga kini masih belum ada hala tuju jelas kerajaan Pakatan Harapan dalam pengurusan ekonomi negara walaupun sudah hampir setahun mengambil alih pentadbiran.

“Kereta terbang, lapangan terbang Kulim yang jaraknya sangat berdekatan dengan lapangan terbang Pulau Pinang dan sekadar ‘rebranding’ program kerajaan terdahulu adalah contoh bagaimana tiadanya pelan perancangan ekonomi yang stabil dan kukuh bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Khairy berkata demikian dalam mengulas mengenai media antarabangsa Bloomberg semalam, sekali lagi menyiarkan artikel tentang kedudukan bursa saham Malaysia, KLCI.

“Bloomberg sebelum ini telah memberi gelaran ‘sore loser’ kepada KLCI selepas menjadi satu-satunya pasaran saham di Asia yang mencatatkan penurunan sejak tahun 2019 bermula.

“Berdasarkan artikel terbaru Bloomberg ini, pasaran saham Malaysia telah jatuh sebanyak 3.5% sejak PRU14 dan merupakan ‘worst major market in the world so far this year’. Untuk rekod, kejatuhan pasaran saham pada kali ini adalah yang terburuk sejak tahun 2016.

“Selain itu, sejumlah lebih RM2 bilion pegangan saham oleh pelabur luar telah dilepaskan untuk tahun 2019 sahaja dan KLCI dijangka akan terus dalam keadaan lembap dan tidak memberangsangkan sehingga tempoh 2020,” petiknya juga.

Selain artikel dari Bloomberg tersebut, Khairy memetik kenyataan FTSE Russell yang mengendalikan penarafan indeks pelaburan juga sedang mempertimbang untuk menurunkan taraf pasaran bon kerajaan Malaysia yang boleh menyebabkan Malaysia terkeluar dari senarai World Government Bond Index (WGBI).

“Malaysia telah mula tersenarai di dalam WGBI sejak tahun 2004.

“Kemungkinan berlakunya penurunan penarafan ini adalah antara lain disebabkan kedudukan Ringgit Malaysia yang terus menunjukkan trend penurunan dan sehingga hari ini, Ringgit Malaysia didagangkan pada kadar RM4.133 berbanding RM4.1085,” katanya lagi. – MediaUMNO.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit