Kemenangan BN Hasil Gerak Kerja Bersepadu – Tok Mat
REMBAU, 14 April – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan bersyukur dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan seterusnya menjadikan ia kemenangan yang ketiga berturut-turut selepas parti berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan merampas DUN Semenyih.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN juga bersyukur kerana PRK Rantau berjalan lancar serta tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Saya mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana Pilihan Raya Kecil Rantau telahpun dapat dijayakan dengan begitu lancar sekali tanpa adanya insiden-insiden yang boleh mencemarkan proses demokrasi yang dijalankan di negara kita selama dua minggu waktu kempen yang dibenarkan.
“Kami Barisan Nasional telahpun berkempen dengan sebaik yang mungkin dengan jentera yang kita susun dengan baik. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat kita daripada rakan-rakan Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Makkal Sakti, IPF, Kimma dan tidak dilupakan khasnya PAS serta NGO (badan bukan kerajaan).
“Juga jentera-jentera PDM (Pusat Daerah Mengundi) kita yang berkerja kuat, Wanita, Pemuda, Puteri hingga akhirnya hari ini kita dapat keputusan yang amat selesa sekali di luar jangkaan kerana banyak orang kata Rantau ini kawasan refleksi kepada kemajmukan Malaysia,” katanya dalam sidang media sebaik selesai majlis pengumuman rasmi keputusan di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan, di sini, malam ini.
Turut sama hadir antaranya, isteri beliau Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Setiasuaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hasan dan lain-lain pemimpin.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga hadir.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkan bahawa Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat memperoleh 10,397 undi menewaskan calon dari Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan 5,887 undi dan dua calon Bebas iaitu R. Malar Vizhi 83 undi dan Mohd Nor Yasin 79 undi.
Majoriti yang diperoleh Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN adalah sebanyak 4,510 undi.
Sebanyak 79.32 peratus pengundi di Rantau hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Tok Mat juga menyatakan perasaan gembira apabila melihat golongan muda telah mula sedar dan tidak lagi percaya kepada PH.
“Apa yang menggembirakan apabila jelas menunjukkan bahawa saluran-saluran yang dulunya kita amat takuti iaitu saluran orang muda tetapi (kini) saluran orang mudalah yang banyak memberikan majoriti kepada kemenangan Barisan Nasional hari ini.
“Orang muda dinamik, tidak statik, melihat dan amat sensitif keadaan-keadaan sekitar terutama politik tanah air sekarang.
“Jadi nampaknya mereka dah sedar dahulu terpesona dengan janji-janji yang telah ditaburkan (oleh PH). Hari ini tidak ada satupun yang dilaksanakan oleh kerajaan maka mereka merasa amat kecewa dan inilah dia referendum melalui peti undi pada pilihan raya kecil di Rantau ini,” katanya lagi.
Dalam sidang media yang sama, Mohamad turut menjelaskan bahawa BN tetap konsisten akan menjadi parti yang menyemak prestasi kerajaan PH.
“Kita akan terus menjadi sebagai parti yang menyemak prestasi kerajaan Pakatan Harapan di mana kita tahu bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara sekali. Negara sekarang dalam keadaan yang tidak menentu, politiknya tidak stabil, ekonomi merudum, banyak orang mengeluh kerana ekonomi yang tidak memberangsangkan.
“Kita perlukan satu pasukan blok pembangkang Barisan Nasional, PAS dan parti-parti lain yang ada dalam parlimen dan juga dalam Dewan Undangan Negeri untuk kita memeriksa dan menyemak prestasi kerajaan.
“Nampaknya kita mempunyai sebuah negara yang regresif bukannya negara yang terkehadapan tetapi terkebelakang terutama prestasi ekonomi negara kita,” tambahnya lagi.
Berhubung dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya, Mohamad berpandangan rakyat kini sudah muak dengan politik fitnah dan budaya tuding jari.
“Memang banyak tuduhan dilemparkan kepada saya, begitu juga kepada Datuk Seri Najib tak sudah-sudah seolah-olah Datuk Seri Najib yang bertanding tetapi orang dah mula muak politik memfitnah, menuding jari dan menyalahkan orang lain… tak ke mana kita.
“Dalam keadaan politiknya tak stabil, ekonomi yang tidak menentu, orang nak dengar ke mana arah, hala tuju dasar ekonomi, dasar luar negara, pembangunan luar bandar kerajaan hari ini.. tiada,” tegasnya. – Media UMNO