Bakti Jadi Saksi… Tiada Alasan Rakyat Rantau Tidak Mengundi Tok Mat

TEMPOH berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan melabuhkan tirai tepat pada jam 11.59 malam ini.

Parti-parti yang bertanding menjalankan kempen dengan pelbagai gaya dan bentuk, baik bertemu pengundi di rumah-rumah, ‘walkabout’ hinggalah mengadakan ceramah perdana terutama dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kelibat kempen dua calon Bebas hampir tidak kelihatan kecuali semasa hari penamaan calon pada 30 Mac lalu.

Jika menyelusuri sekitar kawasan DUN, boleh dikatakan bendera-bendera dan poster BN mendominasi di sepanjang jalan berbanding parti lawan.

Suasana yang tenang, kempen yang tiada unsur-unsur provokasi seharusnya kredit diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kerana pada awal-awal kempen lagi beliau menginginkan Rantau menjadi pencetus bermulanya era politik matang.

Walaupun terdapat serangan peribadi kepadanya, Mohamad atau lebih dikenali dengan Tok Mat tetap tenang dan yang penting tidak melatah.

Pengalaman kru UMNO-Online sepanjang mengikuti Mohamad berkempen, jelas kelihatan penduduk amat menyenanginya.

Kemesraan di sebalik ketegasannya amat menyerlah, dan tidak peliklah penduduk pasti akan mengerumuninya selain bertanya khabar dengan acara wajib; bergambar. Bak kata “pantang jumpa, pasti nak bergambar” dengannya.

Begitu juga di setiap lokasi majlis mesra bersamanya pasti dipenuhi dengan penduduk setempat hingga ada yang berdiri di luar khemah khusyuk mendengar ucapannya.

Bukan sahaja penduduk, bahkan para media yang membuat liputan baik di lapangan mahupun di sidang media yang boleh dikatakan hampir setiap hari diadakan di Command Center BN, berhampiran rumah pusaka keluarga, di Kampung Kanchong di sini, dilayan dengan amat baik, penuh mesra, diselang-seli dengan gurauan tetapi tegas.

Bahkan hingga ke satu tahap, para wartawan kehabisan modal untuk ditanya kerana Tok Mat mampu menjawab apa sahaja persoalan yang ditimbulkan.

Sifat ketegasan yang wujud di dalam diri bekas peneraju syarikat kewangan negara yang beroperasi di London dan ketua pegawai eksekutif syarikat kereta bertaraf antarabangsa itulah yang menjadikan Negeri Sembilan hari ini bukan Negeri Sembilan 15 tahun lalu.

Misi dan visinya sepanjang empat belas tahun menjadi Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan telah menjadikan prestasi pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih kecil daripada kawasan Parlimen Kinabatangan, Sabah itu hingga ke tahap yang amat membanggakan.

Jika mengikut tanda aras Keluaran Negara Dalam Kasar (KDNK) bagi tempoh sepuluh tahun, 2008 hingga 2018 melonjak naik sebanyak 55.7 peratus, melebihi prestasi Pulau Pinang, 52 peratus.

Jika dahulu pusat pentadbiran dan peniagaan negeri hanya bertumpu di Seremban dan Senawang, kini tidak lagi selain Nilai yang terkenal sebagai kawasan perindustrian, kewujudan bandar terancang Seremban 2 dan juga Bandar Sri Sendayan yang temasuk di kawasan DUN Rantau menjadi saksi jasanya kepada Negeri Sembilan.

Kesal dengan dasar kerajaan PH yang banyak membatalkan projek pembangunan yang akhirnya selain memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan ekonomi hiliran rakyat, projek pembangunan juga katanya mampu menjana pendapatan yang tinggi kepada sesebuah negara ataupun negeri.

Tidak hairanlah dasar pembangunan yang menjadi keutamaannya sebagai MB mampu meninggalkan rizab yang tinggi kepada kantung perbendaraan negeri kini, sebanyak RM764 juta, tidak termasuk simpanan tetap kerajaan negeri kira-kira berjumlah RM300 juta.

Berbeza ketika mula-mula memegang tampuk negeri, beliau terpaksa meminjam RM50 juta dari kerajaan persekutuan bagi menampung gaji bulanan kakitangan awam dan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma).

Sebab itulah sepanjang Mohamad menjadi MB, beliau tidak pernah menaikkan cukai-cukai kerana baginya hasil pendapatan cukai hanya menyumbang tidak sampai 20 peratus kepada keseluruhan pendapatan negeri.

Bukan itu sahaja, Tok Mat memberi kemudahan yang banyak kepada peniaga kecil-kecilan asalkan tidak melangkaui batasan laluan jalan raya dan menjaga kebersihan, tanpa lesen pun tidak mengapa!

Tambah membanggakan, cita-citanya mahu menjadikan bandar Seremban bebas daripada bayaran tempat letak kereta, tetapi tidak kesampaian apabila BN tidak lagi mentadbir negeri tersebut.

‘Malaysian Vission Valley’ visinya bagi jangka panjang 30 tahun, 2015 hingga 2045 yang bakal mengubah secara total kemajuan daerah-daerah terlibat juga diberhentikan.

Begitu juga jajaran hubungan jalan raya yang baharu hingga ke sempadan negeri Pahang di Jempol juga dibatalkan.

Kerana itulah kehadiran semula Tok Mat di Sidang DUN amat diperlukan sebagai Ketua Pembangkang atas kebolehan, kepakaran dan kemahiran beliau sebelum ini mengurus tadbir negeri dengan amat cemerlang.

Ternyata jika mahu disenaraikan jasa dan bakti Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasannya dan juga mentadbir urus Negeri Sembilan amatlah panjang.

Antara projek pembangunan rakyat yang dilaksanakannya adalah seperti Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Seremban Sentral, projek-projek perumahan rakyat, ‘Interchange’ Jalan Tampin-Rembau, Stesen Komuter Sungai Gadut, Jalan Bukit Putus-Seremban, Lebuhraya LEKAS, Bandar Sri Sendayan dan Pengkalan Udara TUDM.

Begitu juga Masjid Hussein Seremban 2, lain-lain rumah ibadat, sekolah-sekolah baharu, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Baitul Hilal di Port Dickson dan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), termasuklah balai bomba yang dituduh oleh calon PH, yang berasal dari Klang tidak wujud di Rantau.

Ternyata juga idea dasar Jaringan Sosial yang diperkenalkan anak Rantau itu seawal beliau menjadi MB dahulu mampu memberi manfaat yang besar kepada kira-kira 30 ribu penduduk negeri tersebut tanpa mengira kaum, agama dan pilih kasih.

Tetapi, apa yang menyedihkan baginya kini terdapat ramai rakyat yang mengadu kepadanya bantuan telah dipotong dan ada yang dibatalkan.

Masih teringat kata-katanya: “Takkan miskin jika kita selalu membantu orang susah, orang miskin dan anak-anak yatim.”

Manakala bagi bidang pendidikan, Negeri Sembilan kini berada di tangga kedua terbaik bagi keputusan peperiksaan yang utama baik di peringkat rendah mahupun menengah di negara ini.

Justeru agak menjengkelkan apabila Ahli Parlimen Port Dickson yang berasal dari negeri Pulau Pinang dan baru beberapa bulan mengambil-alih kawasan tersebut demi cita-cita peribadi politiknya mengatakan Tok Mat tiada membawa apa-apa kemajuan dan pembangunan sepanjang beliau menjadi MB.

Mungkin selama berpuluh tahun Ahli Parlimen Port Dickson itu tinggal di gua. Di gua mana agak? Hari ini tidak kutip sampah di pantaikah?

Buat pengundi Rantau, hadiahkanlah kemenangan PRK Rantau ini sebagai ‘hatrik’ kepada anak Rantau itu.

Sebelum ini, di bawah kelolaan dan seliaan Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, beliau mampu memberikan kemenangan parti di PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.

Jangan lupo undi calon nombor satu, Tok Mat, nama yang paling atas di kertas undi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.