Pasar Malam Sendayan Diwarnai Kempen BN, Sepakat Undi Tok Mat

 

REMBAU, 6 April – Pasar Malam Sendayan malam tadi cukup meriah bukan sahaja dengan laungan daripada penjaja pasar malam berkenaan yang menjual pelbagai aneka makanan serta barang-barang keperluan penduduk setempat, malah ianya diwarnai kempen jentera Barisan Nasional (BN) dalam usaha meraih sokongan pengundi agar memberikan undi mereka kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.

Kombinasi jentera tempatan dan juga jentera daripada luar termasuklah sayap Wanita serta Puteri dan Pemuda cukup menggamatkan suasana apabila kehadiran jentera kempen di pasar malam tersebut yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disapa dengan mesra oleh pengunjung serta peniaga pasar malam berkenaan.

Malah UMNO-Online yang turut serta pada walkabout berkenaan dapat melihat bagaimana para peniaga turut mengambil kesempatan meluahkan perkara dan isu-isu yang terbuku di hati mereka kepada jentera parti khususnya Datuk Seri Ismail Sabri mengenai kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Pelbagai rungutan yang diterima dan diluahkan oleh para peniaga dan pengunjung yang ada memperlihatkan suasana realiti politik sebenar rakyat hari ini yang sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri ketika diminta mengulas suasana PRK DUN Rantau melihat penerimaan penduduk setempat terhadap calon BN, Tok Mat sangat positif.

“Lihat kehadiran tokoh-tokoh besar mereka turun… walau bagaimanapun saya percaya ianya tidak menggugat keyakinan pengundi kepada Tok Mat selaku calon kita dan saya nampak peluang Tok Mat adalah cerah kerana sepanjang saya berada di sini, saya lihat penerimaan yang sangat positif daripada semua pihak dan pelbagai kaum yang ada.

“Tok Mat sebagai anak jati dan dibesarkan di kawasan Rantau jadi hubungannya dengan penduduk setempat cukup rapat kerana beliau bersekolah di sini dan ramai kawan-kawan…begitu juga saudara mara.

“Jadi hubungan antara beliau dengan penduduk setempat  cukup baik. Tok Mat memajukan kawasan FELDA sebagai contoh… jadi setiap orang mempunyai hubungan yang sentimental. Justeru kehadiran pemimpin PH baik yang besar, sederhana atau kecil pada saya ianya tidak boleh mengubah pemikiran dan keputusan pengundi Rantau untuk memberikan undi kepada Tok Mat,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.