Kita Tunggu Minyak Turun, Sekali Hibah Yang Turun… – Najib
KUALA LUMPUR, 6 April – “Kita tunggu harga minyak turun, sekali hibah (Tabung Haji) yang turun,” sindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program ‘Townhall 2019: Politik Malaysia Baru’ bersama pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Najib berkata, harapan rakyat selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan negara adalah melihat transformasi negara sebagai sebuah negara berekonomi tinggi dan keadilan sosial tanpa ada sesiapa tertinggal di belakang, namun sayangnya semua itu tidak menjadi kenyataan dan keadaan pentadbiran negara semakin memburuk.
“Saya terkedu selepas BN kalah pada 9 Mei lalu kerana saya mempunyai banyak visi untuk Malaysia.
“Kita harapkan peralihan kuasa akan menjadikan negara lebih baik tapi har ini bila ditanya intipati Malaysia Baru, tiada jawapannya.
“Satu prinsip penting dalam demokrasi… apabila berjanji, kita bersetuju dengan janji yang dilakukan. Undi rakyat berdasarkan janji. Ini prinsip demokrasi, semangat ‘rule of law’, janji kena tepati tapi apa yang jadi sekarang, kita tunggu harga minyak turun, tapi hibah yang turun,” ujar beliau.
Kata Najib, sejak pemerintahan PH saban hari rakyat disajikan dengan berita tidak baik antaranya, Tabung Amanah Norway telah membuat keputusan untuk tidak mahu melabur di Malaysia dan implikasinya RM1.7 billion akan ditarik keluar dari modal pasaran Malaysia.
“Indeks Bursa Saham hari ini telah jatuh pada paras paling rendah. Hutang negara naik dalam paras tertinggi. Hutang dahulu ialah RM686 bilion… hari ini RM777.1 bilion, sektor pembuatan turun enam bulan berturut-turut, peniaga rugi, lelong tanah hak milik bebas, jual aset negara, pelaburan di Pulau Pinang merudum, pelancong Singapura ke Malaysia pada hujung minggu jatuh 15 peratus dan hibah Tabung Haji jatuh kepada 1.25 peratus yang mana sebelum ini tak pernah kurang dari 6.7 peratus.
“Jangan salahkan BN… ‘rule of the law’ pada masa kini… kes Pegawai Khas Timbalan Menteri ambil gambar bawah skirt tidak ambil tindakan, kes pil kuda, soal terowong kenapa tidak ada pendakwaan sampai hari ini? Orang yang dapat komisyen, yang dapat saham kepentingan… tidak ada pendakwaan kepada mereka. Kalau BN dulu semua kena.
“Bila PH, tidak ada pula pendakwaan. Pada PRU-14 lalu, kes Lim Guan Eng belum selesai, empat hari dibicara dalam mahkamah tetapi minta tangguh sebab nak hadapi PRU… tapi apa yang jadi? Lepas PRU, kes selesai,” sindir beliau lagi. – MediaUMNO