Sebelum PRU, ‘Belum Cuba Belum Tahu’… Hampir Setahun Terbukti BN Lebih Baik – Samsol Bari

 

REMBAU, 2 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali melihat konsep ‘belum cuba belum tahu’ yang dicanang oleh sesetengah pihak pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu menampakkan hasilnya hari ini setelah hampir setahun berlakunya perubahan kerajaan yang sebelum ini ditunjangi Barisan Nasional (BN).

“Masihkah kita ingat… alah… kita cuba dulu mana tau lebih baik… tidak cuba mana tahu… nah sekarang dah cuba dan tentu kita tahu bahawa ia tidak lebih baik daripada kerajaan BN. Adakah hari ini ianya lebih baik… Saya nak tanya adakah kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan BN sebelum ini…? Namun itulah realitinya dan siapa yang tidak mahu harga petrol jadi murah… hutang tidak perlu bayar… dan macam-macam janji lagi….

“Apapun bagaimana kita menghargai nikmat yang ada sebelum ini. Waktu kita ada nikmat kita tidak kisah… ada banyak namun kita akan rasai nikmat apabila kehilangannya. Sebelum ini BN ditohmah rasuah… zalim dan sebagainya lagi… sekarang ini apa jadi?

“Jadi kali ini kita perlu menangkan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya ketika berucap pada ‘Majlis  Santai Bersama’ di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah, di sini, Isnin malam.

Samsol seterusnya menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang boleh menafikan kejayaan BN dalam soal perpaduan kaum di negara ini sejak sekian lama dan hasilnya terus kekal sehingga ke hari ini.

“Dasar dan juga pelaksanaan semangat perpaduan kaum di negara ini oleh BN sejak sekian lama telah membuktikan bahawa ianya adalah sebuah parti yang terbaik dan hakikat tersebut tidak mampu dinafikan oleh sesiapa.

“Jasa berkenaan cukup besar dan dapat dilihat daripada kesederhaan parti berkenaan yang terdiri daripada kalangan komponennya dalam mewujudkan perpaduan kaum dan agama di negara ini. Begitu juga dalam aspek lain…,” tambahnya lagi. – MediaUMNO


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit