PH Gagal, Kerajaan Kelam-kabut… Menteri Pun Tak Jawab Isu Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 2 April – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal dalam pentadbiran dan pengurusan apabila kerajaan yang ada hari ini kelam-kabut dengan para menterinya dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab.
Katanya, PH sekarang kelam-kabut apabila parti ultra-kiasu atau parti cauvinis-rasis Dap ini berleluasa dan bertindak dengan cara komunis iaitu wujudkan kekacauan untuk menunjukkan kononnya mereka jadi hero memerintah.
“Patutnya wakil rakyat PH perjuangkan di Parlimen nasib rakyat, golongan rendah… makan cukup atau tidak… tapi ada wakil-wakil rakyat Dap ini perjuangkan untuk orang dapat hak warganegara…,” katanya.
Jelas beliau, tugas barisan pembangkang di Parlimen bukanlah membangkang gila-gila tetapi mengangkat perkara-perkara yang menjadi permasalahan rakyat.
“Hari ini rakyat menderita… perkara yang tak pernah terjadi kepada rakyat sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) mereka lalui apatah lagi tahap rasisme sangat tinggi.
“Tahap perkauman tinggi boleh cetus benda-benda tak elok berlaku dalam negara kerana Perdana Menteri (PM) biarkan manusia yang mempunyai agenda sendiri berada dalam kerajaan dan membuat keputusan berleluasa.
“Kita tahu Tun M boleh kawal semua tapi mampukah Tun nak kawal tiap-tiap seorang yang mempunyai sifat cauvinis, ekstremis dan ultra-kiasu. Ngar Koh Ming keluarkan kenyataan tuduh kerjasama UMNO-PAS sebagai taliban… ini jelas adalah rasis. Kemudian wakil rakyat Dap, ADUN Mengkibol kata apa yang berlaku di New Zealand juga boleh berlaku di Malaysia yang dikaitkan dengan UMNO-PAS… ini mana boleh cakap macam tu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Diskusi dari Parlimen yang mengupas isu-isu dari parlimen dengan dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid. Diskusi ini disiarkan melalui laman Facebook UMNO-Online malam tadi.
Dalam masa yang sama, Shahidan turut membidas menteri-menteri PH yang gagal menjawab soalan dan seakan tak tahu tanggungjawab atau portfolio masing-masing.
“Kelmarin Menteri Wilayah (Menteri Wilayah Persekutuan, Abdul Khalid Samad), tak pasal-pasal jawab kementerian lain pasal hubungan UMNO dengan Parti Komunis China yang katanya UMNOlah lebih komunis kerana ada jalinan dengan China.
“Saya nak beritahu Khalid, dia menyibuk apa menjawab kementerian orang lain… penyibuk paling besar… yang kata UMNO ada hubungan dengan komunis yang patut jawab adalah Perdana Menteri.
“Saya nak bagi tahu Khalid bahawa kami mempunyai hubungan dengan negara komunis tapi mereka mempunyai hubungan dengan pengganas komunis. Chin Peng pengganas yang telah bunuh rakyat dan polis. Ini beza mempunyai hubungan dengan negara luar dan juga mempunyai hubungan terus dengan pengganas.”
Bidas beliau, Menteri Wilayah juga jawab berkaitan royalti minyak dalam Parlimen untuk apa?
“Apa menteri Wilayah menyibuk dengan royalti minyak ? Inilah antara menteri yang kononnya nak ambil nama, mana boleh macam itu… kelam-kabut kerajaan sekarang. Menteri Wilayah Persekutuan jawab soal minyak dan juga tentang polisi menteri… menteri juga campur tangan dalam perbahasan.
“Mereka dah jadi pembangkang lama…bila jadi kerajaan mereka gagal. Jawapan mengarut… bohong… contohnya Menteri Luar tak jawab isu Statut Rom. Tak gentleman sebab tak jawab dalam Parlimen. Cakaplah sajalah ya atau tidak.
“Kita nak pertahankan institusi Raja-raja kita… pasal Statut Rom ni, Amerika Syarikat tarik balik, Filipina tarik balik malah Singapura pun tak sain. Apa salah kalau tak sain… janganlah nak sain tak tentu pasal macam ini.
“Macam ICERD juga… sain pun ekonomi kita tak melambung, tahu berbohong saja… tak ada kerja cari kerja,” tegas beliau lagi.
Beliau turut mengulas berkaitan demografi penduduk mengikut kaum semasa.
“Saya nak bagi tahu pada rakyat, demografi kedudukan kaum, orang Melayu 69.45 peratus, orang Cina 22 peratus, orang India tujuh peratus jadi mana mungkin orang majoriti nak jadi rasis kepada manoriti tapi orang minoriti ini yang jadi rasis kepada majoriti. Mereka walaupun minoriti tapi mereka bertindak seolah-olah mereka majoriti, mengatur itu ini untuk golongan majoriti.
“Kalau UMNO parti rasis kenapa UMNO terima warga asing jadi warganegara Malaysia sebelum nak merdeka dulu? Negara lain tak terima misalnya Indonesia kalau nak jadi warganegara Indonesia tak boleh nama Cina, begitu juga Thailand… Filipina pun.”
Selaras dengan itu, beliau menasihati rakyat agar jangan bersifat rasis.
“Tahan serta merta jangan jadi rasis, jadilah rakyat Malaysia yang ada rasa cinta terhadap negara ini,” katanya lagi. – MediaUMNO