Angkara PH Ekonomi Merudum, Rakyat Semakin Derita – Ahmad Maslan


REMBAU, 1 April – “Tanam ganja tanam buluh, ganti getah ganti sawit; sudah terang lagi bersuluh, rakyat susah bertambah sakit,” demikian serangkap pantun nukilan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas pantun tersebut ditujukan kepada situasi yang berlaku pada hari ini mengenang nasib rakyat yang terpaksa menanggung keperitan hidup akibat ditadbir oleh kerajaan yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam memakmurkan ekonomi negara, ditambah pula dengan pelbagai idea dari pemimpin-pemimpinnya yang tidak masuk akal dan mengarut.

Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, kecelaruan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyebabkan negara kehilangan hasil yang banyak kesan daripada kejatuhan saham negara akibat pelabur asing melepaskan pegangan dan penggantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Dalam masa sebelas bulan ini, RM200 ribu juta hilang daripada pasaran saham daripada RM1.9 trilion turun kepada RM1.7 trilion… hilang daripada pasaran saham negara Malaysia, jatuh saham.

“Akibat daripada jatuh saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan dividen susut daripada sebelumnya, Amanah Saham Bumpitera (ASB) mengumumkan susut dari tahun sebelumnya, Tabung Haji kita menunggu entah bila nak umumkan Hibah. Kata nak umum bulan Mac.. tak umum lagi sampai hari ini,” katanya dalam ceramah isu-isu semasa di Majlis Mesra Bersama Tok Mat Calon N27 DUN Rantau, malam tadi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, di Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, di sini.

Terdahulu, calon BN bagi PRK DUN Rantau, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan hadir ke majlis tersebut dan memberikan ucapan.

Turut hadir, Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

Selain itu, kesan kejatuhan saham turut menyebabkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) rugi RM6.3 bilion bagi tahun 2018 berbanding sepuluh tahun sebelumnya yang untung berturutan dan begitu juga Felda Global Ventures (FGV) mengalami kerugian.

“Kenapa jatuh (saham)? Pasaran saham lain jatuh ke tidak? Malaysia ini ‘the sole looser’, yang jatuh dan kalah dibanding dengan pasaran-pasaran saham yang lain. Paling teruk jatuh dibanding pasaran saham negara-negara jiran yang lain.

“Kerana apa? Kerana apabila mereka datang dengan pentadbiran yang baru, pengumuman pertama yang mereka sebut hutang RM1 trilion, pasaran saham jatuh. Selepas itu mereka kemukakan rancangan separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dalam buku itu dicatat RM686 bilion bukan RM1 trilion. Kemudian apabila mereka bentang bajet dalam dokumen laporan ekonomi sekali lagi RM686 bilion, tapi dia umum RM1 trilion.

“Ini siapa yang punya angkara? Tak lain dan tak bukan menteri kewangan Lim Guan Eng,” bidasnya.

Jelas Ahmad yang juga mesra dengan panggilan Tok Mat Maslan lagi, punca kedua hilang RM2 trilion dalam pasaran saham adalah tindakan kerajaan PH yang menghapuskan sistem cukai GST kepada SST.

“Tidak ada negara dalam dunia yang dah buat GST patah balik buat sistem yang tidak telus, tidak cekap, sistem cukai yang menipu, sistem yang ‘slow slow’ tipu… SST, sistem yang 170 buah negara dah tinggalkan,” tegasnya.

Akhirnya, rakyat terpaksa tanggung keperitan akibat kehilangan hasil negara yang banyak, katanya.

“Itu sebab segalanya dipotong… RM100 sahaja daripada RM450 bantuan sara hidup (BSH), kemudian pelajar universiti daripada RM250 turun RM100… nelayan daripada RM300 tiap-tiap bulan tinggal RM200, dulu pendaratan ikan sepuluh sen bagi setiap kilogram sekarang tiada.

“Kemudian musim tengkujuh untuk penoreh getah kalau kita tidak ‘menjerit’ tak dibagi, tiga bulan menanti masak dulu ada (RM200 setiap bulan) sekarang tiada. Bantuan (sara hidup) Felda kita nak beri RM1,500 dia nak potong, Felcra dulu seribu, dipotong tinggal RM450… ini dia saya bagitahu tadi, ‘rakyat susah bertambah sakit’.

“Naik gaji? Jangan harap naik gaji, jika tidak penjawat awam naik gaji dua kali tahun lepas, tapi hanya naik gaji biasa tiada dua kali,” ujarnya.

Begitu juga pembangunan terancang bagi memberi nikmat kepada rakyat seperti ECRL yang tidak tahu status sama ada diteruskan atau tidak, HSR dan juga ‘Malaysia Vission Valley’ yang tidak diteruskan oleh kerajaan PH, tambahnya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Ahmad menyeru kepada pengundi agar memilih Tok Mat Hasan sebagai wakil mereka atas beberapa faktor.

“Pertama, Datuk Seri Mohamad Hasan telah banyak jasa kepada DUN Rantau dan juga Negeri Sembilan. Kedua, kerana Tok Mat Hasan pada ketika ini sedang memangku atau menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO dan juga menjalankan tugas-tugas Pengerusi Barisan Nasional

“Ketiga, kita ingin pembangkang yang kuat kerana ia akan menguntungkan rakyat dan Ketua Pembangkang Negeri Sembilan sebelum ini ialah Tok Mat Hasan, oleh kerana itu untuk menjadi pembangkang yang kuat kita kembalikan Tok Mat Hasan ke dalam Dewan Undangan Negeri.

“Keempat, sebagai tanda protes kita kepada kerajaan pusat yang tidak menunaikan janji-janjinya dan yang tidak menjaga ekonomi dengan baik, yang tidak menjaga rakyat dengan baik dengan kelam-kabut pemerintahan mereka, dengan ahli-ahli pentadbiran yang caca-merba dan macam-macam onar yang mereka lakukan. Itu sebagai tanda protes kita kepada kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit