Kerajaan PH Cari Helah… Ulang Skrip Lama Salahkan BN
REMBAU, 31 Mac – Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Tuan Hj Rafei Mustapha mempersoalkan apakah yang telah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama sepuluh bulan mereka memerintah negara ini?
Menurut beliau secara umumnya 99.9 peratus masa yang ada digunakan untuk mencaci serta mencari kelemahan selain mendedahkan apa juga perkara yang mereka kesan apabila mengambil alih kerajaan sebelum ini.
“Adakah ini kerja yang betul… Tok Mat kata saya pengetua. Apabila saya datang ke SMK Rembau, apakah saya sibuk dalam masa enam bulan cerita tentang keburukan pengetua yang lepas. Saya tidak buat benda macam itu.
“Mungkin ada kelemahannya… betul memang ada kelemahan namun sebagai seorang yang bertanggungjawab saya tidak perlu bersusah payah mahu menggali, mahu membongkarkan kemudian mahu dedahkan kepada semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin Di Pusat Daerah Mengundi Pekan Saga, di sini, malam tadi.
Turut serta calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Pada masa yang sama beliau turut melihat apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini hanyalah sekadar helah untuk melepaskan diri.
“Ini disebut sebagai ‘escapisme’ mencari helah untuk melepaskan diri… mencari helah untuk mengesahkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir negara. Memang betul. PH sebenarnya terkejut dan mereka tidak sangka boleh menang sebab itu mereka tidak bersedia untuk mentadbir negara.
“Kita bukannya mahu memandang rendah… kita pun tahu bagaimana sukarnya PM yang telah dipersetujui untuk melantik barisan menteri akhirnya hari ini yang kita lihat dan nampak sejauh mana keupayaan mereka,” tambahnya lagi. – MediaUMNO