Kempen PRK DUN Rantau Buka Tirai, Jasa Dan Bakti Jadi Saksi
REMBAU, 30 Mac – Barisan Nasional (BN) tekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK), dengan bermulanya proses penamaan calon hari ini.
Keadaan di sekitar pusat penamaan calon amat meriah pagi ini, apabila kumpulan penyokong berkumpul bagi menanti rombongan calon menuju ke Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini.
Sejak 7.30 pagi, pendukung, penyokong BN dan PAS membanjiri kawasan berhampiran lokasi bagi menunjukkan solidariti serta sokongan dengan bergema laungan ‘Hidup BN’, ‘Hidup Tok Mat’ serta takbir.
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi parti tiba di lokasi berhimpun pada pukul 8.45 pagi.
Sejurus selepas ketibaan Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan, perarakan masuk ke dewan penamaan bermula bagi proses pendaftaran calon.
Antara pemimpin BN dan UMNO yang turut mengiringi Mohamad adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli-ahli Parlimen BN serta kepimpinan sayap pergerakan parti.
Begitu juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kepimpinan tertinggi MIC dan KIMMA.
Turut mengiringi Mohamad adalah kepimpinan PAS seperti Naib Presiden, Idris Ahmad, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hasan, Menteri Besar Terengganu, Dr Shamsuri Ahmad dan Ketua Pemuda, Ustaz Mohamad Khalil Hadi.
Sebelum perarakan yang turut mendapat kerjasama yang cukup baik dari Jabatan Amal Malaysia, dimulai dengan bacaan doa memohon agar segala urusan dipermudahkan serta diberi kejayaan kepada BN mempertahankan kerusi tersebut.
Pusat penamaan dibuka ada pukul 9.00 pagi dan calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga pukul 10 pagi ini untuk mengemukakan kertas pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada kira-kira pukul 11 pagi.
Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan juga dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi PRK DUN Rantau ini seramai 20,922 orang pengundi berdaftar layak mengundi meliputi 118 orang pengundi awal dan 20,804 pengundi biasa.
Terdapat sebanyak 16 buah pusat mengundi merangkumi 55 saluran dengan 11 daripadanya saluran baharu yang ditambah untuk kemudahan mengundi pada kali ini.
Hari mengundi awal pada 9 April manakala hari pengundian biasa pada 13 April ini.
PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, terbatal dan tidak sah.
Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – Media UMNO