Rakyat Minta PH Beri Fakta, Jangan Cuba Main Retorik Politik Tentang Pengurusan Negara
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan kepada rakyat kenapa dalam usaha untuk mengurangkan hutang negara sehinggakan pelbagai projek rakyat dihentikan, kemudahan dan batuan dipotong tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila jumlah hutang semakin bertambah.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menegaskan bahawa rakyat mahu tahu dengan fakta tentang pengurusan negara dan jangan cuba bermain dengan retorik politik semata-mata.
“Bagi tahu rakyat kemana dan bagaimana… kerajaan perlu jelaskan kenapa dalam usaha nak menghapuskan hutang negara tetapi sebaliknya yang berlaku. Itu yang rakyat nak dengar.”
Tegasnya, Kerajaan PH bertindak menghentikan projek rakyat sebagaimana ECRL dan HSR selain bantuan masyarakat dibatalkan tapi yang peliknya hutang negara semakin bertambah.
“Keadaan kewangan negara sekarang ini bukan menuju ke arah lebih baik tapi menuju ke arah nazak yang lebih teruk untuk masa-masa akan datang. Saya minta menteri dan kerajaan hari ini jangan mengeluarkan satu kenyataan bahawa ini adalah keadaan ekonomi global kerana saya tidak nampak sebarang usaha dibuat oleh pihak kerajaan.”
Beliau memberikan contoh sektor pelancongan yang sebelum ini boleh menjana pendapatan dan keuntungan dalam negara tetapi kalau dibuat dalam penanda aras dengan kerajaan dahulu iaitu Barisan Nasional (BN), ia telah turun secara drastik dalam tempoh pentadbiran kerajaan PH.
“Tidak dilakukan sesuatu oleh PH yang lebih baik dari kerajaan dahulu malah soal logo tahun Melawat Malaysia 2020 pun sampai sekarang masih tak ada penyelesaian. Daripada mana lagi sumber pendapatan negara kalau ini pun masih gagal.
“Pelabur-pelabur luar… ke arah mana yang dilakukan oleh kerajaan PH untuk menarik pelabur dari luar sepanjang tempoh10 bulan yang dah berlalu ini, selain meminjam dari negara luar.
“Dulu kita ada pendapatan melalui GST sehingga lebih 40 bilion tapi sekarang hanya SST yang baru kita ada 21 bilion. Kita hilang 23 bilion dalam pendapatan negara. Apa yang Lim Guan Eng kata hadiah kerajaan kepada rakyat sedangkan harga beras naik, tol tak hapus, barang keperluan naik, bantuan ditarik, kemudahan masyarakat luar bandar dikurangkan, kemudahan infrastruktur dipotong, saiz penjawat awam dikecilkan.”
Bidas beliau, apa yang rakyat dapat hasil hadiah kerajaan PH dengan memotong GST?
Beliau berkata demikian dalam Diskusi Dari Parlimen mengupas isu dalam Dewan Rakyat bertajuk ‘PH Gagal Di Parlimen’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online pada Selasa, malam.
Tegasnya, kepimpinan dalam PH hari ini juga dilihat tidak senada dalam pelbagai perkara.
“Ini bukan satu kenyataan atau percanggahan yang pertama tapi sudah beberapa kali setelah ECRL, HSR, kereta nasional dan beberapa kenyataan yang berkaitan kepentingan rakyat. Sekarang berlaku lagi dalam soal pembinaan lapangan terbang Kulim.
“Apa perlunya lapangan terbang Kulim? Saya bukan anti pembangunan kerana saya pun suka pembangunan dilakukan lebih drastik apatah lagi melibatkan penduduk luar bandar. Kalau berlaku… pembatalan ECRL merugikan negara, lebih-lebih lagi kepada semua masyarakat yang berada di sepanjang jajaran Kuala Lumpur hingga ke Pantai Timur. Ini bukan hanya merugikan negara, masyarakat dan juga golongan rakyat khususnya mereka yang golongan berpendapatan B40.”
Katanya, berdasarkan beberapa keadaan, dilihat bahawa kenyataan dan teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seolah tidak ada kesan langsung dan menjadi sindiran dalam media sosial.
“Contoh, Tun buat kenyataan menteri-menteri beliau yang dilantik adalah individu baru yang masih tak berpengalaman maka masyarakat perlu beri ruang secukupnya tetapi walaupun singkat… baru 10 bulan mestilah ada peningkatan dan menteri berubah.”
Ujarnya jika teguran pemimpin tertinggi PH pun diabaikan dan tidak diambil teladan bagaimana pula dengan yang lain.
“Kalau YAB Tun sendiri pun tidak memberikan satu contoh dan teladan yang baik dan tepat kepada natizen dan rakyat apatah lagi kepada kabinet beliau… bermakna kalau Tun sendiri pun boleh berubah daripada satu kenyataan kepada kenyataan yang lain, daripada satu pendirian kepada satu pendirian yang lain, maka itulah yang akan dikutip oleh menteri kabinet beliau. Selalu U-turn.
“Samalah macam yang dilakukan oleh Mujahid (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof), sekejap subsidi haji dikekalkan, sekejap kata nak ditarik balik… ini semua bergantung kepada respon spontan oleh rakyat dan natizen… menteri bergantung kepada mereka.
“Ini tak boleh dan tak harus berlaku dalam kepimpinan sebuah negara yang telah lama merdeka dan dihormati seluruh dunia. Kalau inilah hasil kepimpinan PH dengan kaedahnya berterusan maka amat malang bagi kita.”
Soal beliau, adakah kerajaan hari ini tahu apa perkara yang menjadi keperluan mendesak kepada rakyat?
“Apa perlunya lapangan terbang Kulim sedangkan lapangan terbang yang ada sekarang ini tak lebih 50 km jauhnya berbanding di Pulau Pinang dan Alor Setar. Ini soal keperluan kepada rakyat iaitu antara lapangan terbang berbanding dengan ECRL.
“Saya berani bercakap… di hati kecil pemimpin kerajaan sekarang antara ECRL, HSR, lapangan terbang dan kereta nasional maka mereka juga akan memilih ECRL dan HSR tapi oleh kerana projek ini adalah hasil kerajaan BN dulu, dek kerana ego … bak kata orang kampung ‘ibarat nak menegakkan benang yang basah’ saja.
“Mereka kata ini adalah projek (ECRL dan HSR) yang tak mendatangkan hasil dan patut dihentikan, kembali kepada kereta nasional dan lapangan terbang sedangkan rakyat menunggu sesuatu supaya kerajaan baru boleh bawa pembelaan secara total.”
Katanya, kerajaan hari ini jangan fikir soal pembangunan di Kuala Lumpur atau di kawasan bandar saja tapi di kawasan Parlimen yang terpinggir juga perlu diutamakan.
“Misalnya di Jelebu iaitu kawasan saya sendiri yang sebelum ini dipenuhi oleh BN untuk pembinaan infrastruktur, kemudahan riadah dan siasah untuk rakyat dan hampir dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan terdahulu tapi kenapa dihentikan… kenapa ditarik balik sedangkan perkara itu untuk rakyat… kenapa harus dipindahkan semua itu kepada sesuatu yang bukan menjadi keperluan dan tuntutan,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO