#PrkRantau : Maruah UMNO Dan Survival PH
Pilihan Raya Kecil Rantau pada 13 April ini amat penting kepada Barisan Nasional ( BN) khususnya UMNO dalam membangkitkan martabat dan maruah parti yang difitnah pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.
Kemenangan BN di Rantau adalah manifestasi penolakan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PH) yang tidak menunaikan janji di samping menarik balik segala bantuan dan kemudahan untuk golongan yang memerlukan.
Sikap menaburkan janji kosong PH membuat rakyat naik mual apatah lagi sikap pemimpin mereka yang gemar menyalah orang lain.
Mereka seolah-olah hilang tujuan termasuk tiada dasar baharu yang konkrit membangunkan negara.
Anggota Kabinet yang lemah dan tidak berwibawa menyebabkan usaha memperkenalkan dasar mendapat tentangan rakyat malah dasar itu ‘lebih kepada kulit dan bukan isinya’.
Tambahan pula ada beberapa pemimpin PH yang menipu sijil kelayakan akademik mereka.
MOMENTUM KEMENANGAN
Dalam PRK kali ini, BN mencalonkan semula Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO manakala calon PH adalah Dr. S. Streram. Beliau daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Momentum kemenangan BN bermula di PRK Cameron Highlands dan seterusnya di Semenyih. Sudah tentu jentera BN akan bekerja keras untuk memastikan BN terus mendapat kemenangan berturut-turut.
Setakat ini, jentera kedua-dua pihak sudah mula bergerak di mana BN diterajui sendiri oleh Tok Mat manakala PH diketuai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelbagai ceramah umum diadakan oleh BN dan PH di Rantau sejak dua minggu lalu yang secara langsung mengajak pengundi memilih calon mereka.
Tok Mat yang juga ADUN Rantau sejak tiga penggal telah membuka command centre dan menggerakkan jentera cawangan di Bahagian Rembau yang disifatkan sebagai ‘orang pangkal’ yang bertanggungjawab memulakan langkah dan membantu pasukan negeri atau bahagian angkat.
Kerjasama antara UMNO-Pas akan memberikan kelebihan kepada BN berikutan apa yang dipaparkan di Cameron Highlands dan Semenyih. Ini yang merisaukan PH dan menjadi mimpi buruk kepada DAP, parti komponen PH.
Selain itu, sebagai bekas Menteri Besar, Tok Mat telah banyak membantu rakyat Negeri Sembilan khususnya dan Rantau khasnya termasuk isu tanah dan tempat beribadat kaum India.
Bagi PH terutama Anwar, mereka pasti mahu menang selepas calon DAP dan PPBM gagal di Cameron Highlands dan Semenyih.
Anwar tentu mahu calon pilihannya menang bagi memapar beliau berwibawa dan mampu mengambilalih sebagai Perdana Menteri ke-8 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
TAKTIK LICIK
Malah Anwar menyatakan hasratnya berkampung di Rantau untuk membongkar segala kelemahan dan kebobrokan BN.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna BN atau UMNO memandang rendah terhadap kemampuan PH, terutama menggunakan taktik licik dan mengelirukan pengundi.
Jentera pilihan raya UMNO perlu berhati-hati dalam gerak kerjanya. Paling penting ialah meyakinkan pengundi bahawa kerajaan baru ini tidak mampu menunaikan permintaan rakyat berbanding kerajaan BN sebelum ini.
Perhatian rakyat juga harus dialihkan daripada dakyah politik PH yang secara terus-menerus menyalahkan kerajaan BN sebagai helah untuk menutup kepincangannya sendiri.
Kenaikan harga barang, kemerosotan nilai ringgit, kehilangan aset negara, rancangan menjual aset rakyat dan kelemahan pentadbiran ekonomi perlu menyedarkan rakyat bahawa PH hanya menyandar politik tangkap muat serta rapuh.
Dengan menggunakan secara berterusan isu 1MDB, menyalahkan #bossku, sebenarnya tiada kerja khusus dirangka untuk menyusun program membangunkan ekonomi rakyat yang resah hadapi krisis kenaikan sara hidup.
Ini terutama penurunan harga komoditi seperti minyak sawit dan getah yang diusahakan jutaan peneroka FELDA dan pekebun kecil.
Kepada siapakah rakyat dapat menyandarkan harapan? Adakah suara mereka didengari kerajaan?
Isu perbalahan kaum juga kian menjadi-jadi di bawah PH.
Merebaknya perbalahan agama, kaum serta LGBT hanya berlaku sejak PH mengambil alih Putrajaya, dan ia dilihat tidak menjanji hukuman setimpal ke atas mereka yang melakukannya.
Di Parlimen, wakil mereka lebih banyak menyuarakan isu remeh-remeh dan menyerang peribadi wakil pembangkang dan tidak sedikit pun berbahas mengenai rakyat. Inikah yang rakyat mahukan?
DISEDARKAN DARI MIMPI
Pengundi Rantau mesti terus disedarkan daripada mimpi mereka. Kedatangan Anwar bukan untuk menolong orang Rantau tetapi sekadar menonjolkan beliau calon terbaik mengganti Dr. Mahathir serta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali.
Nasib orang Rantau akan terbiar dek perebutan kuasa di peringkat nasional. Selepas selesai PRK Rantau, semuanya balik ke Kuala Lumpur. Yang akan tinggal ialah Tok Mat. Bagi Tok Mat, hidup dan matinya adalah untuk orang Rantau kerana beliau berasal dari sana.
Percubaan untuk menukar kerajaan pada PRU-14 lalu ternyata memperosokkan mereka ke dalam dilema kehidupan yang kian kronik.
PRK Rantau akan bertindak sebagai wake up call kepada lena yang panjang ini. Ia adalah medan di antara mencari kebenaran dan pembohongan.
Rakyat sudah mulai sedar, dan adalah diharapkan mereka akan bingkas bangun memperbetulkan keadaan sebelum semuanya punah!
Bagi kita undi mesti diberikan kepada Tok Mat yang pasti bukan saja akan mewakili mereka. Malah beliau akan bersuara tentang resah gelisah terhadap pentadbiran kerajaan sepenggal yang tidak keruan.
DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
Ketua Penerangan UMNO