Masih Mahu Nafi Sedangkan Naratif Pemikiran Dap Masih Dalam Kerangka Kaum
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas Dap yang masih menafikan bahawa mereka adalah parti yang berfikir dalam kerangka kepentingan sesebuah kaum.
Bahkan katanya, dalam konteks perpaduan nasional, pemimpin-pemimpin Dap adalah punca serta pencetus masalah.
“Sebenarnya, insiden-insiden membabitkan pemimpin-pemimpin Dap selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuktikan bahawa bukan hanya ‘beberapa pihak dalam Dap’ tetapi hampir semua pemimpin Dap yang masih berfikir dalam kerangka kaum.
“Dapat dilihat bahawa antara keutamaan besar pemimpin-pemimpin Dap selepas PRU-14 ialah untuk memperjuangkan isu-isu pendidikan Cina seperti mendapatkan pengiktirafan kepada ‘Unified Examination Certificate’ (Sijil Peperiksaan Bersama) atau dikenali UEC.
“Begitu juga dengan usaha membanyakkan sekolah beraliran Cina seperti pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa Kementerian Pendidikan akan mengkaji cadangan untuk membina 26 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC),” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Ketua Whip Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Dap, Liew Chin Tong sempena Ulang Tahun Dap Ke-53 pada 18 Mac lalu yang mendakwa Dap bukan parti berdasarkan kaum.
Bagaimanapun jelas Mahdzir lagi, Liew Chin Tong pada masa yang sama mengakui ada ‘beberapa pihak dalam Dap yang masih berfikir dalam kerangka kaum dan berharap parti itu menjadi juara untuk orang bukan Melayu’.
Liew Chin Tong juga menyeru pemimpin-pemimpin Dap supaya menjadi penyelesai masalah di kampung, bandar, negeri dan negara, tetapi sebenarnya tegas Mahdzir, dalam konteks perpaduan nasional, pemimpin-pemimpin Dap adalah punca dan pencetus masalah.
Selain itu, jelas Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, turut menjadi tumpuan besar pemimpin-pemimpin Dap selepas PRU- 14 ialah untuk melonjakkan kedudukan sekolah menengah persendirian Cina dan institut pengajian tinggi swasta Cina dengan memberikan mereka dana yang banyak.
“Tidak cukup dengan Teo Nie Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan mengagih-agihkan dana ini, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng, juga turut melakukan perkara sama dengan menggunakan dana Menteri Kewangan pula.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara, Menteri Kewangan sebelum ini fokus kepada usaha memberikan dana kepada sekolah menengah persendirian Cina dan institut pengajian tinggi swasta Cina.
“Tetapi itulah yang berlaku bila Lim Guan Eng memberikan dana RM2 juta setiap satu kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang,” katanya lagi.
Terbaharu tambah Mahdzir, di Stadium Merdeka semalam Lim Guan Eng turut menggunakan dana Menteri Kewangan untuk diberikan kepada SJK (C) Chong Hwa di Setapak, SMJK Chong Hwa di Gombak dan Sekolah Menengah Persendirian Cina Chong Hwa di Jalan Ipoh.
“Maka jelaslah, berdasarkan kepada perlakuan terbaru Lim Guan Eng selaku pemimpin tertinggi Dap ini, bahawa Dap adalah parti berdasarkan kaum dan pemimpin-pemimpin Dap masih berfikir dalam kerangka kaum,” ujarnya. – MediaUMNO