PH Mungkir Janji Manifesto Lagi, Jawatan Pengerusi PAC Milik Pembangkang

JOHOR BAHRU, 16 Mac – UMNO menggesa dan menegaskan agar jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dikembalikan kepada wakil Pembangkang seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata salah satu janji tegas PH dalam manifesto PRU14 mereka adalah memberikan jawatan atau tanggungjawab sebagai Pengerusi PAC kepada wakil pembangkang.

“Janji tersebut dibuat secara terbuka dan bersungguh-sungguh oleh PH atas beberapa penegasan. Antaranya, mewujudkan ketelusan dan memastikan berlakunya keseimbangan dalam keseluruhan proses serta perjalanan PAC, yang merupakan satu jawatankuasa yang kritikal kepada negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Untuk tujuan itu, katanya, Ronald Kiandee yang sebelum ini mewakili Barisan Nasional (BN) telah dilantik, akan tetapi, beliau akhirnya telah melompat parti dan kini menyertai PPBM sekali gus tidak lagi mewakili pembangkang.

“Perkembangan ini memerlukan beliau digantikan dengan seorang wakil baharu dari Pembangkang. Justeru, BN telah memberikan nama baharu, iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong YB Noraini Ahmad, untuk mewakili Pembangkang sebagai Pengerusi PAC yang baharu.

“Namun begitu, YAB Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tiba-tiba memutuskan pula yang Ronald Kiandee akan dikekalkan dan jawatan tersebut tidak akan diberikan kepada wakil Pembangkang seperti yang dipersetujui.

“Keputusan ini bukan sahaja sangat bercanggah dengan komitmen dan janji manifesto PH, malah, beliau turut memberikan maklumat tidak tepat dengan menegaskan yang perkara tersebut tidak termaktub atau dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan BN memerlukan sokongan majoriti untuk menggantikan Pengerusi PAC sedia ada.”

Katanya, kedua-dua perkara tersebut adalah terpesong sama sekali.

“Sekalipun ia tidak dinyatakan secara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ini tidak sedikit pun bermakna yang amalan yang baik ini tidak patut iteruskan. Lebih- lebih lagi ini adalah janji dalam manifesto PH sendiri.

“Adalah sangat mengecewakan, malah memalukan, sekiranya PH memutuskan untuk terus menerus mengabaikan manifesto dan janji PRU14 sehinggakan amalan yang bertujuan mengukuhkan ketelusan turut dipolitikkan. Bukankah PH sendiri yang sebelum ini menabur janji manis untuk mengukuhkan tadbir urus serta integriti dalam pentadbiran negara.

“Malangnya hari ini, perkara tersebut diketepikan sesedap rasa dan tidak diendahkan sama sekali. Sikap sebegini mesti dihentikan oleh Kerajaan,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.