Pasir Gudang Dilanda Musibah, MB Pula Pergi Batam…

LEDANG, 16 Mac – Di kala penduduk Pasir Gudang dilanda musibah akibat pencemaran bahan kimia dan memerlukan parhatian khusus, Menteri Besar (MB)Johor, Datuk Osman Sapian pula seakan tidak ambil serius dengan apa yang terjadi.

Ketua Pemuda UMNO Ledang, Arifudin Wagiman mengecam MB yang masih mampu mengikuti rombongan ke Batam sedangkan apa yang terjadi di Pasir Gudang memerlukan perhatian khusus dan penyelesaian segera.

“Saya amat kecewa dengan cara MB menangani isu ini. Sudahlah tidak memandang perkara ini dengan serius malah gagal untuk menguruskan situasi bencana dengan baik. Ketika rakyat dan petugas sedang sibuk merawat dan memindahkan mangsa, beliau dikhabarkan berada di Batam dan ini sesuatu yang amat memeranjatkan.

“Sepatutnya rombangan ke Batam boleh sahaja dibatal atau ditangguh kerana masalah di Pasir Gudang lebih penting. Masyarakat Pasir Gudang ketika ini memerlukan MB mereka tetapi malangnya orang yang diharapkan memandang situasi genting ini dengan remeh,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Arifudin, apa yang lebih menyedihkan adalah kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh MB juga amat menyakitkan hati warga Pasir Gudang khususnya mangsa yang terlibat.

“Semua sekolah di Pasir Gudang diarah tutup, ada mangsa yang sedang bertarung nyawa di ICU malah jumlah mangsa juga semakin meningkat tetapi MB boleh mengatakan keadaan tidak kritikal.

“Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid juga telah menegur tindakan kerajaan yang membenarkan sekolah-sekolah di kawasan yang dicemari gas toksik dibuka semula malah beliau juga berkata bahawa keadaan bertambah teruk kerana kelewatan kerajaan negeri bertindak.

“Ramai juga yang telah mendesak agar darurat diumumkan namun sayang suara rakyat langsung tidak didengari. Adakah jika sudah ada yang meninggal dunia baru perkara ini dianggap serius?” bidas beliau.

Selain itu beliau turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih atas sikap prihatin DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Dilaporkan, Osman berada di Batam untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 semalam. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.