Sekretariat Bertindak Rakyat Gesa Kerajaan Johor Bertindak Segera Selesaikan Permasalahan Rakyat
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Sekretariat Bertindak Rakyat hari menggesa agar Kerajaan Negeri Johor khususnya ADUN Kempas yang juga Menteri Besar Johor mendengar keluhan rakyat dan menyegerakan langkah-langkah Pelan Adaptasi Johor Bahru bagi menangani permasalahan penduduk setempat.
Menurut Jurucakapnya, Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous, langkah tersebut seperti yang telah dikemukakan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pulai dan seperti yang dinyatakan dalam Bajet Negeri Johor 2019 adalah untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di kawasan stesen bas Taman Johor.
“Pada dua hari yang lepas, kawasan stesen bas Taman Johor dinaiki air ekoran hujan rebut yang kian menjadi ekoran faktor perubahan iklim. Namun, perubahan iklim bukan menjadi alasan kepada permasalahan ini.
“Malah perkara ini telah dinyatakan menerusi kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pergerakkan Pemuda UMNO Pulai, Saudara Muhammad Shaqib Shahrilnizam pada tahun lepas dengan menyatakan kebimbangan beliau dan mendesak agar Kerajaan Negeri Johor bersama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengadakan Pelan Adaptasi dan Mitigasi Johor Bahru bagi menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau yang juga ketua Pemuda Pulai seterusnya menggesa agar kerajaan negeri segera mengambil perhatian isu berkenaan dan ADUN Kempas khususnya perlu mendengar keluhan tersebut.
“Beliau tidak menaikkan sebarang kenyataan media mahupun tindakan segera diambil untuk menyelesaikan kes tersebut. Rakyat memerlukan ADUN yang bernadikan kepada rakyat terutama sekali kebajikan di kawasan DUN tersebut dan bukannya hanya ahli politik yang omong kosong.
“Sekiranya perkara ini berterusan tanpa adanya solusi maka ini menunjukkan Kerajaan Negeri Johor dibawah Pakatan Harapan adalah gagal dan melantik Menteri Besar yang tidak kompeten dan berfikiran kritikal dalam menyelesaikan segala masalah,” tambahnya. – MediaUMNO