Kerajaan PH Dibidas Masih Amal ‘Blame Game’ Untuk Halalkan Kegagalan Mentadbir – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan kerana masih lagi menggunakan pendekatan ‘blame game’ yang suka mempersalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghalalkan kegagalan mereka di mana kebajikan rakyat semakin terabai dan terpinggir.
Katanya, sejak PH mengambil alih kerajaan dari BN, permasalahan ekonomi negara bertimbun tambah malah berasaskan laporan perkembangan ekonomi suku ke-3 dan ke-4 Bank Negara Malaysia (BNM), Hutang negara semakin meningkat selepas PH memerintah iaitu dari RM731.34 bilion pada suku ketiga kepada RM741.05 bilion pada suku keempat 2018.
“Semasa pentadbiran Kerajaan BN dahulu, Khazanah tidak pernah rugi sebegini walaupun semasa krisis ekonomi yang telah berlaku pada tahun 2008.
“Khazanah mencatatkan keuntungan dan peningkatan nilai aset sebanyak berbilion ringgit semasa pentadbiran BN, namun sebaliknya berlaku dalam tempoh hanya 10 bulan PH memerintah.
“Nilai aset bersih Khazanah mengalami penurunan sebanyak 21.6 peratus menjadikan RM25 bilion berbanding RM91 bilion pada penghujung 2018 serta RM116 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja di Parlimen, hari ini.
Tegasnya, kerugian Khazanah disebabkan oleh aset-asetnya jatuh nilai akibat pasaran saham yang tidak memberangsangkan kesan keadaan ekonomi negara yang merudum kesan dari kegagalan kerajaan PH.
“Apabila Khazanah dan syarikat-syarikat ini mengalami kerugian, maka ramai lagi rakyat dijangka dibuang kerja dan kerajaan PH akan menjadikan kerugian ini sebagai alasan untuk menjual lagi aset-aset kerajaan. Kedua-dua kesan di atas akan menekan lagi rakyat dan merugikan negara.
“Saya difahamkan, Kementerian Kewangan seperti memfaraidkan harta-harta Khazanah tanpa melalui tender terbuka. Kalau benar dakwaan ini, jelaslah Kerajaan PH ini `cakap lain, buat lain’ atau `cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap’.
“Adakah perlakuan tersebut sebagai kaedah mudah untuk memberi `hadiah’ kepada kroni-kroni melalui cara yang salah?” soal beliau secara sinis.
Dalam perkembangan tersebut, beluat turut meminta penerangan dari Menteri Kewangan berhubung langkah-langkah yang Kerajaan PH akan ambil bagi mengatasi permasalahan di Khazanah, Tabung Haji, Felda, Felcra, kejatuhan nilai ringgit, kemorosotan rizab negara, kejatuhan pasaran saham dan sehubungan dengannya?
“Adakah jawapan kepada permasalahan itu hanya cukup dengan menyalahkan kerajaan yang lepas tanpa mengambil tindakan yang jitu lagi tepat.
“Adakah rakyat memberi mandat kepada PH memerintah negara hanya untuk mendengar ratib-ratib yang semakin basi dan memualkan telinga dan tekak rakyat, iaitu kleptokrasi, hutang 1 trillion, 1MDB dan sewaktu dengannya.”
Bidas beliau, rakyat tidak nampak satu tindakan yang konkrit dilakukan oleh Kerajaan PH dalam mengatasi permasalahan tersebut.
“Rakyat terbeban dengan harga barangan yang terus meningkat, rakyat semakin terhimpit dan sengsara,” katanya lagi. – MediaUMNO