Kor Ming ‘Ejen’ Perpecahan, Berhenti Berlakon Kononnya Pejuang Kebangsaan – Saarani


IPOH, 11 Mac – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, Pengerusi Dap Perak Nga Kor Ming perlu berhenti berlakon kononnya sebagai pejuang kebangsaan selepas mengundang kemarahan rakyat susulan kenyataannya menggambarkan gabungan UMNO-PAS akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Pembangkang DUN Perak, Kor Ming tidak perlu lagi berpura-pura untuk menutup keterlanjuran sendiri memandangkan beliau sememangnya sudah dikenali rakyat sebagai orang yang kerap meniup api permusuhan, malah ucapan-ucapannya yang berbaur perkauman dan kebencian telah menjadi malar segar di internet.

“Rakyat tidak boleh lupa bagaimana beliau membakar kemarahan rakyat dengan menggambarkan pemberian duit raya ketika sambutan Aidilfitri sebagai pemberian dedak. Kor Ming juga pernah dikritik hebat kerana mempersoalkan peruntukan lebih besar kepada masjid berbanding rumah ibadat lain.

“Begitu juga ucapan-ucapan ceramahnya yang sarat dengan maki hamun dan sumpah seranah selain pernah dirakam mencarut dengan kata-kata berbaur lucah terhadap musuh politiknya. Bukan itu sahaja, dia juga pernah menghamburkan kata-kata nista terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir dengan gelaran ‘hitam metalik’ sehingga terpaksa meminta maaf selepas dikecam hebat pelbagai pihak.

“Jangan lupa…Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menjadi mangsa kebiadaban Kor Ming apabila menyatakan beliau akan ‘pergi’ tidak lama lagi menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, bermain mahjong di dunia lain,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, agak melucukan apabila Kor Ming mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah, sedangkan kecaman rakyat terhadap dirinya adalah berpunca dari keceluparannya sendiri.

“Dia sebenarnya tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana jelas rekod menunjukkan dia adalah salah seorang ‘ejen’ perpecahan yang sering menanam semangat kebencian yang mengganggu keharmonian antara kaum.

“Kor Ming harus ingat, sekarang ini adalah zaman internet, setiap ucapan dan kata-kata akan direkodkan dan tidak boleh dipadam di alam maya. Internet tidak lupa dan kata nista dia masih lagi dapat ditonton oleh rakyat,” bidasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit