Himpunan LGBT Cuba Ubah Syariat Islam, Bawa Budaya Songsang
JOHOR BAHRU 11 Mac – Tindakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpun sempena perarakan Hari Wanita kelmarin, disifatkan satu cubaan untuk mengubah syariat Islam melalui beberapa tuntutan yang disuarakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Rashidah Ramli berkata, tuntutan mereka itu dilihat sebagai satu cubaan membawa budaya songsang tersebut ke ruangan awam dan dijadikan sebahagian daripada agenda nasional yang mendesak.
Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam Perlembagaan Negara sepatutnya dipelihara kesuciannya dan tidak membenarkan mana-mana pihak untuk mempertikaikan syariatnya.
“Budaya LGBT merupakan satu perbuatan yang dilarang agama, ia disifatkan sebagai luar tabii, tidak bermoral dan dihukumkan berdosa.
“Tuntutan itu dilihat sebagai satu cubaan untuk membawa budaya songsang ini ke ruangan awam dan dijadikan sebahagian daripada agenda nasional yang mendesak, sedangkan ia jelas haram dan ditentang di dalam Islam dan tidak perlu dipolemikkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Selain itu, tambahnya, kumpulan perhimpunan itu turut melaungkan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh dan kehidupan mereka sendiri.
Beliau berkata, dengar bunyi seperti betul dan bernaratif positif, akan tetapi sekiranya diperhalusi maka akan memberi makna yang negatif.
“Kebebasan yang dituntut itu perlu selari dengan syariat Islam dan jika bercanggah, perlu ditolak tanpa kompromi,” katanya.
Justeru, Rashidah meminta Menteri Agama memainkan peranannya sebagai seorang menteri untuk menjaga kesucian agama Islam daripada dikotori oleh pihak yang berideologi liberal ekstremis.
Tambahnya, Menteri Agama juga perlu tegas dalam menangani mereka yang berideologi demikian supaya syariat agama Islam tidak diubah mengikut kehendak dan selera mereka sendiri. – UTUSAN ONLINE