Kenyataan Kor Ming Bukti Siapa Sebenarnya Bersifat Rasis – Mahdzir

ALOR SETAR 10 Mac – Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang meniupkan api kebencian serta menakutkan masyarakat bukan Islam dengan mengambarkan gabungan Pas dan UMNO akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan, disifatkan cukup berbahaya sekali gus boleh menggugat keharmonian di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, DAP selama ini sering menuduh UMNO dan Pas sebagai rasis namun hakikatnya mereka lah yang bersifat perkauman dan terbukti dengan kenyataan menghasut seperti itu.

Katanya, apabila diumumkan secara rasmi Pas bekerjasama dengan UMNO, Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang dilihat tidak senang duduk umpama ‘cacing kepanasan’ dengan penyatuan orang Islam dan Melayu ini.

“Selama 60 tahun kita perintah, kehidupan rakyat pelbagai kaum di negara ini cukup harmoni dan dalam tempoh itu, tidak ada sapa kata kita memerintah seperti Taliban.

“Apa yang menjadi masalah apabila Melayu bersatu sebab kita adalah majoriti. Negara lebih aman dan stabil apabila Melayu tidak berpecah belah. Selama ini, keadaan ekonomi, pendidikan berada dalam cukup baik, bagaimana DAP boleh katakan Malaysia akan jadi seperti Taliban,” katanya semalam.

Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Katanya dalam laporan Malaysia Gazette yang memetik akhbar Kwang Wah Yit Poh, rakyat akan menderita apabila UMNO dan Pas membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan kerjasama di antara Pas dan UMNO telah ‘mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu’.

Bagaimanapun kenyataan tersebut ditarik balik dan diubah beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman daripada warganet.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pemimpin DAP tidak sepatutnya menghasut masyarakat Cina di program-program mereka supaya membenci Melayu Islam melalui kerjasama UMNO dan Pas.

“Sangat bahaya apabila di majlis-majlis masyarakat Cina, pemimpin DAP ini cuba menanam sifat kebencian ini terhadap Melayu.

“Namun dalam majlis kita, apabila pemimpin Melayu menyeru supaya orang Melayu Islam bersatu, kita dikatakan rasis namun apabila mereka menghasut bukan Islam, tidak pula digelar rasis. Itulah sikap DAP,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.