Kerajaan Negeri Jangan Lepas Tangan
PULAU PINANG 7 Mac – Kerajaan negeri tidak boleh bersikap lepas tangan dalam isu pengusiran 22 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pengusiran penyewa-penyewa tersebut tidak akan membuatkan masalah membabitkan isu perumahan PPR itu selesai.
“Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi alasan ada 400 pemohon lain menunggu, tapi sebenarnya adakah rumah PPR kepada rakyat negeri ini mencukupi.
“Ke mana penyewa ini mahu pergi, mereka tiada rumah lain untuk disewa kerana rumah PPR sememangnya tidak mencukupi untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 22 penyewa diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.
Penyewa kemudiannya terpaksa menjadikan perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sebagai tempat tinggal sementara selepas kediaman itu dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri.
Kon Yeow dalam reaksi berhubung perkara itu semalam berkata, penyewa di PPR Taman Manggis didapati telah melanggar syarat dan tindakan diambil kerana mereka tidak menepati syarat-syarat penyewaan. – UTUSAN ONLINE