10 Tahun Dap Perintah Pulau Pinang… Mana Rumah PPR Baharu? Yang Nampak Hanya Usir Penduduk


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas alasan-alasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pengusiran penduduk di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di negeri tersebut.

Tegasnya, jika dikatakan antara sebab pengusiran adalah untuk menempatkan 400 buah keluarga miskin yang baharu, tempoh sepuluh tahun Dap memerintah negeri tersebut adalah lebih dari mencukupi untuk menyediakan rumah PPR yang baharu.

“Bukankah sebelum ini kerajaan Dap Pulau Pinang mendakwa telah membina rumah mampu milik sebanyak empat kali ganda dari kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu?

“Cuma persoalannya, adakah harga antara RM42,000 sehingga RM400,000 rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri ini benar-benar mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang?

“Sedangkan di Kuala Lumpur, harga rumah mampu milik kategori PPR yang ditetapkan adalah di bawah RM35,000,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengusir 20 buah keluarga yang menetap di PPR Taman Manggis kerana dikatakan telah melanggar beberapa syarat sewaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan antara syarat-syarat yang telah dilanggar oleh penyewa adalah tinggal di PPR tersebut melebihi tempoh yang dibenarkan selama lima tahun, tunggakan bayaran sewa, jumlah pendapatan melebihi kelayakan serta status kewarganegaraan pasangan.

Tetapi yang paling utama sekali ujar Shahril, walau apapun alasan dan dakwaan kerajaan bahawa kesilapan berpunca di kalangan penyewa, adakah wajar penduduk dilayan sedemikian rupa.

“Diusir keluar rumah tanpa bincang, tanpa sempat mengambil barang keperluan dan sebagainya sehingga terpaksa tidur di bawah Komtar, dibuat seakan hina.

“Tindakan mengusir tanpa mengambil kira situasi dan masalah yang dihadapi penyewa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malahan ianya adalah suatu tindakan tidak berperikemanusiaan,” bidasnya lagi.

Shahril juga menimbulkan persoalan mengenai ketiadaan wakil kerajaan negeri terutama Exco Perumahan serta wakil rakyat kawasan berkenaan melihat kesengsaraan rakyat mereka.

“Saya juga tertanya, di mana Exco Perumahan? Di mana wakil rakyat kerajaan?

“Malam semalam sewaktu keluarga-keluarga diusir, yang datang membantu dan menenangkan adalah Pemuda UMNO Pulau Pinang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Yang pembangkang, yang tiada kuasa yang terpanggil. Yang berkuasa dan mengusir, hanya dabik dada. Saban hari kita diingatkan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini seakan bukan kerajaan untuk rakyat, tetapi untuk diri dan agenda sendiri,” selarnya lagi.

Berhubung perkara tersebut juga, Shahril menimbulkan persoalan adakah kerajaan negeri telah mengambil kira situasi, masalah serta kesukaran yang dihadapi oleh penyewa-penyewa terbabit sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran syarat-syarat sewaan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menyatakan bahawa sepanjang tempoh menduduki lima tahun, kerajaan negeri mengharapkan penyewa dapat menaik taraf diri dari segi pendapatan dan pekerjaan supaya mereka mampu untuk menyewa rumah yang lain atau membeli rumah sendiri.

“Sekiranya penyewa tidak mampu mencapai perkara seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri, apakah bentuk penyelesaian yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan ini?

“Ibarat lima tahun kalau tak cukup kaya, keluar sahaja? Suka diingatkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Dap sudah berusia lebih sepuluh tahun dan telah memasuki penggal ketiga,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit