Kerjasama UMNO-PAS : BERSATU Seperti Janda Yang Cemburu
ANGGOTA Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Rais Hussin Mohamed Ariff yang tidak senang dengan perkahwinan UMNO dan PAS melabelkan ia sebagai satu ‘sumbang mahram’.
Beliau menyatakan bahawa dengan penyatuan ini, UMNO dan PAS “bersedia untuk melahirkan anak haram dari perkahwinan politik mereka yang dilangsungkan bagi kepentingan kedua-dua pihak”. Pada beliau, penyatuan dua-dua parti ini adalah berlandaskan selera mereka terhadap penipuan, korupsi, kemewahan dan pencurian.
Rais melihat penyatuan ini melalui kaca mata dan survival politik kepartian semata-mata. Memandangkan tidak ada hujah yang jelas dan kuat, beliau memilih pendekatan jelik. Iaitu membalut semua perkara dengan memetik konteks dan hukum agama, yang dengan tegas dan jelas tidak terpakai dalam perkara ini.
Saya tidak pasti sejauh mana beliau sedar dan faham akan hukum tindakan memanipulasikan hukum agama sebagai analogi politik yang terpesong dari konteks yang sesuai. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
UMNO-PAS baru duduk berbincang dan bertentang mata di pentas umum. Tetapi nampaknya BERSATU pula yang terlebih ghairah sampai mengelamun hingga ke kamar kelamin dan aksi atas katil pengantin.
Penyatuan UMNO-PAS bukan sumbang mahram. Ia adalah pembukaan lembaran baharu terhadap usaha rentas parti, bagi mengupayakan bangsa kita. Agar seterusnya berlaku kerjasama dan penyatuan Melayu-Islam dalam pelbagai bidang.
Tindakan Rais sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik dalam PPBM terhadap senario politik jangka panjang Melayu – Muslim di negara ini.
Penyatuan Demi Kebaikan
Rais pastinya enggan melihat penyatuan UMNO dan PAS dalam konteks yang lebih besar kerana dia tahu dampak penyatuan ini pada BERSATU. Dan jangan heret analogi sumbang mahram yang tidak kena itu. Rais mesti fikirkan kembali tentang perpecahan kuasa politik Melayu-Islam. Dan masa depan orang Melayu.
Jangan tanya mengapa penyatuan ini baru berlaku sekarang. Lihat dan fikir sendiri tentang realiti hari ini. Di manakah silap ibu mengandung, apabila bangsa yang sama agama, budaya dan bahasa, seakan dua arus selari tetapi enggan bertemu. Meskipun mengalir di dalam sebuah sungai yang menuju hilir yang sama.
Dahulu, orang Melayu merupakan orang yang spiritual. Tindak tanduknya, di dalam hal ehwal politik, ekonomi, perkahwinan dan kematian, semuanya bersendikan Syarak. Tidak pernah melupakan tuntutan rohaniah di dalam segenap usaha untuk memakmurkan duniawi.
Lebih malang, saat kita melangkah ke abad ke-21, umat Melayu – Islam di bumi ini sudah semakin hilang kuasa dan hilang jati diri, dek kerana badai modenisasi yang menyelinap masuk ke dalam naratif politik, ekonomi dan sosio-budaya mereka.
Malah, kini orang Melayu semakin terpinggir di tanahnya sendiri. Yang bergaji tidak naik-naik. Yang berniaga sudah semakin rugi, dan yang beranak-pinak pula semakin risau dengan kos pendidikan zuriat mereka. Belum diambil kira, cara hidup, pemikiran dan identiti mereka sering dikecil-kecilkan dan disindir-sindir, kerana sudah tiada berkuasa politik dan ekonomi lagi.
Maka kerana itu UMNO dan PAS bergerak demi pengupayaan bangsa, untuk kebaikan semua, kerana hanya mereka yang berani sahaja mampu mereka sejarah yang penting ini.
Sekarang UMNO dan PAS telah menemui formula yang ampuh untuk memandu kebangkitan orang Melayu di tanah mereka sendiri. Nasionalisme Melayu, dipacu dengan agama Islam serta penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan ekonomi akan terus menjadi penyelesaian kepada permasalahan mendatang.
Seperti mana yang dimulakan alim-ulama kita dahulu, ketika Persidangan Agung Ekonomi – Agama Se-Malaysia, di Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak Darul Ridzuan.
Roh dan semangat mereka dalam memartabatkan orang Melayu serta agamanya haruslah dijadikan asas kepada penyatuan ini, dan hanya dengan penyatuan dan kesefahaman politik sajalah, ia kini dapat direalisasikan kembali.
Dahulunya, naratif nasionalisme dan pembangunan UMNO serta naratif Islam dan konservatif PAS tidak pernah dan seakan mustahil untuk disatukan. Dua kembar politik ini, telah mewujudkan seribu satu pemisahan dan jarak yang berdepa-depa di antara Melayu berkopiah putih dan Melayu bersongkok hitam. Mereka hadir di majlis tahlil yang berbeza, solat di masjid yang berlainan dan berkahwin dengan pasangan yang hanya sekufu di dalam politik sahaja.
Sudah banyak umat Melayu dan Islam rugi akibat perpisahan ini. Luluh hati wira dan wirawati nasionalis kita, dan masyghul jiwa alim-ulama kita, jika di dalam senario politik sekarang pun, kita masih lagi tidak bersatu. Masih terus mencari perbezaan dan masih terus mengungkit-ungkit kisah silam. Tidak ubah seperti anak-anak kecil di bangku sekolah yang berebutkan gula-gula kapas tetapi terbawa-bawa sehingga kedua-dua sudah berjanggut putih.
Inilah masa kita bersatu dan membawa kembali kebaikan kepada bangsa. Sampai bila mahu memecah-belahkan bangsa sendiri. Kita mesti bersama-sama untuk memberikan sumbang saran agar idea terbaik dapat diterjemahkan kepada kebaikan bangsa dan negara,
Meskipun sesetengah penyokong mereka telah melabel Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemegang kepada kunci kesedaran politik Melayu, ini sama sekali tidak benar.
Kunci kesedaran yang sebenar selama ini adalah dimiliki dua parti gergasi Melayu dan Muslim – UMNO serta PAS. Bukan pada dua orang personaliti yang sudah mengkhianati bangsanya sendiri dengan bekerjasama dengan DAP dan PKR, parti yang dipimpin oleh individu-individu yang sangat mereka musuhi, benci dan hina dengan kejam suatu masa dahulu.
Kalau kita guna analogi terdesak seperti Rais, BERSATU ini tidak ubah seperti janda UMNO yang kini menjual maruah dan meniduri lelaki lain secara beramai-ramai semata-mata agar bekas suaminya dapat dibunuh dan tidak dapat berkahwin dengan orang lain.
Apa gelaran yang sesuai ya? Janda yang cemburu dan kegilaan talak barangkali. Yang pasti, ‘BUNGA’ seperti ini memang tidak layak dipetik dan dipinang sebagai pasangan, apatah lagi di nikahi dan ditiduri.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO