PH Harus Bertanggungjawab: Janji Wujudkan Peluangkan Pekerjaan… Tapi Ramai Diberhentikan
JOHOR BAHRU, 4 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) haruslah bertanggungjawab terhadap janji yang telah mereka ikrarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan seterusnya menunaikan janji tersebut, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Katanya, PH Johor telah berikrar akan mewujudkan 200 ribu peluang pekerjaan di negeri terbabit tetapi persoalannya kenapa sehingga hari ini tidak kelihatan kerajaan Johor bersungguh-sungguh untuk mewujudkan peluang pekerjaan tersebut.
“Buku Harapan juga telah berjanji untuk mewujudkan satu juta pekerjaan juga nampaknya tidak dipedulikan oleh kerajaan mereka sendiri. Sebaliknya ramai kakitangan awam kontrak telah diberhentikan kerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kata beliau, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula baru-baru ini mengatakan bahawa saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikecilkan.
“Pelik tapi benar, mereka yang berjanji ingin membuka peluang pekerjaan mereka pula yang memecat dan ingin memberhentikan ramai orang.
“Buku Harapan terkandung iltizam yang menyebutkan hasrat untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.”
Soalnya, adakah janji itu hanya sekadar di atas kertas sahaja atau hanya gimik kosong kerana janji-janji berkenaan bukan dari kitab suci?
“Saya ingin bertanyakan kepada kerajaan PH Johor apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah pengangguran di negari ini terutama yang melibatkan pelajar lepasan universiti tempatan dan luar negara.
“ Apakah juga langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat di negara ini, serta apakah janji-janji ini sekadar manis dibibir sahaja untuk diungkapkan?
“Kita mungkin hanya mampu lihat Menteri Besar Johor menukarkan agensi kerajaan Johor, Agensi Swadaya Insan Negeri Johor yang diperkenalkan semasa zaman Dato’ Mohamed Khaled Nordin kepada Unit Strategik Modal Insan Johor.”
Soal beliau lagi, apakah yang dilakukan oleh unit ini pada hari ini danberapa ramai yang telah mereka bantu dan buka peluang pekerjaan?
“Mahasiswa lepasan universiti anak Johor hari ini ingin melihat apakah janji-janji PH ini tertunai sedangkan mereka menjadi penganggur?
“Usah hanya selesa duduk dikerusi empuk, kemudian rakyat diketepikan. Jangan seperti kera mendapat bunga, baru diberi kuasa sudah lupa asal usul,” katanya lagi. – MediaUMNO