Tok Mat Ingatkan PH Hati-hati, Jangan Terlalu Desak Melayu Dan Islam…


SEMENYIH, 28 Feb – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) mengingatkan Pakatan Harapan (PH) agar berhati-hati dan jangan terlalu mendesak Melayu dan Islam di negara ini.

Jelasnya, sekiranya Islam terus diusik, beliau bimbang kemarahan orang Melayu tidak lagi mampu dikawal.

“Jadi saya harap PH hati-hati. Jangan didesak sangat… jangan dihina sangat Islam. Seorang dua bolehlah saya sabarkan tapi saya bimbang kemarahan orang Melayu ni.

“Sabar kita ada tahap… bila berasaskan bangsa dan agama… susah… saya tidak mahu menjadi sebagai orang yang melihat kejadian tidak diingini berlaku… saya minta kepada semua orang Malaysia supaya pulang ke pangkal jalan, berfikir secara waras.

“Negeri ini negeri bertuah… yang aman damai. Orang Melayu ini baik hati dan ini terbukti 60 lebih Melayu berkuasa, kita tak tindas sesiapa… kita tidak persoal agama orang… sekolah orang malah kita raikan kepelbagaian kaum dalam negara ni.

“Tapi mereka (PH) baru sembilan bulan tadbir dah naik tocang… persoal itu ini sampai Nabi pun ada yang berani hina… ini yang buat Melayu Islam resah di tanah air sendiri,” ujar beliau ketika berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, malam tadi.

Tambah beliau, entah di mana silapnya kaum majoriti di negara ini kini terpaksa akur menerima hakikat walaupun Perdana Menteri beragama Islam tetapi kuasa lebih banyak dipegang oleh bukan Melayu.

“Walaupun Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) Perdana Menteri tetapi dia tidak ada kuasa mutlak. Tidak sama macam dia jadi Perdana Menteri ke-4 dulu… ada kuasa mutlak BN, ada kerusi yang banyak dalam parlimen. Senang urus negara pada ketika itu terutama dasar yang jaga hak Melayu dan Islam.

“Sekarang mereka cuba nak alih batu sempadan yang kita persetujui dulu iaitu agama Islam sebagai agama agama rasmi dan bahasa Melayu bahasa rasmi.

“Jadi kita perlu sedar, kalau berterusan begini maka kita akan terhakis di tanah air sendiri. Apa yang terjadi hari ini kerana kita sekarang berpecah. Walau majoriti tapi kita berpecah… ada Melayu UMNO.. Melayu PAS… Melayu PAN… Melayu PPBM… ada juga Melayu Dap, tapi saya rasa Melayu Dap ini lahir salah hari,” ujar beliau berseloroh.

Beliau berkata demikian berikutan pelbagai insiden yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH khususnya berkaitan penghinaan terhadap agama dan keadilan dalam perundangan negara. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.