Tun M Memang Tidak Pernah Mengendahkan Masalah Rakyat – Ku Li


SEMENYIH, 26 Feb – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkata, mengenali sosok tubuh bernama Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sememangnya seorang yang tidak pernah mengendahkan masalah rakyat.

Jelas beliau, kerana tidak puas hati dengan sikap Tun M adalah antara punca yang menyebabkan beliau akhirnya mengambil keputusan mencabar Tun M untuk jawatan Presiden UMNO.

“Saya tidak puas hati bila Tun M terlalu suka menswastakan semua perkara hingga barang menjadi mahal. Sekarang ‘penyakit’ itu dirasai oleh kita. Dulu saya banyak kali jumpa Tun mengadu masalah tapi tak diendahkan sebab dia kawal semuanya.

“Jadi saya lawan dia tapi tak tumbang dia… menang tipis. Sekarang dia kembali jadi Perdana Menteri. Kini bila Dap menguasai segala kementerian kanan, kita akan hadapi masalah besar apatah lagi dimaklumkan kita mengalami diflasi… keadaan hidup akan brtambah susah. Ini semua akan membebankan.

“Fikirlah apa yang akan terjadi di negara ini? Mereka (pemimpin PH) masih bersandiwara. Hari-hari perselisihan satu sama lain, tiada janji ditunaikan dalam manifesto… main catur sesama sendiri, siapa nak duduk di mana,” ujar beliau dalam ceramah sempena kempen PRK DUN Semenyih dekat sini, malam tadi.

Justeru, beliau menyeru kepada para pengundi untuk berubah dan jika Barisan Nasional (BN) mampu menang di sini maka tidak mustahil BN akan kembali bangkit pada PRU-15 nanti.

Dalam program yang sama, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki dalam ucapannya berkata, PAS telah mengalami bagaimana Dap berjaya memecahkan parti itu sehingga ada yang keluar dan menubuhkan parti lain.

“Itulah kemahiran Dap…. Lihat semasa PRU-14 yang lalu apa yang terjadi bila orang Melayu berpecah dan terbahagi kepada beberapa kumpulan. Walaupun umat Melayu majoriti tapi politik… bila kita dipecah dan diperintah menyebabkan kita tidak boleh kuasai negara.

“Hari ini kita tidak nampak negara ini nak dibawa ke mana. Masa zaman Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi), kita nampak hala tuju bila beliau memperkenalkan Islam Hadari. Zaman Datuk Seri Najib, kita nampak hala tuju kepada penyatuan 1Malaysia dan pengukuhan ekonomi. Banyak projek di zaman Tun yang bermasalah berjaya ditangani Najib seperti tol Utara-Selatan… bila diambil alih maka harga tol ditetapkan, tidak lagi naik walaupun sepatutnya naik kalau ikut perjanjian yang dibuat zaman Tun.

“Sekarang bila naik semula Perdana Menteri ke-4 dan ada bakal Perdana Menteri paling lama di Malaysia… menyebabkan kita tak tahu ke mana negara ini nak bawa,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit