Kerjasama UMNO-PAS Semakin Diperkukuh, Diperkasa Menuju PRU15 – Annuar


KUALA LUMPUR, 23 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dengan tegas mengatakan kerjasama serta mufakat antara UMNO dan PAS bukan sahaja akan diteruskan, malah akan diperkasakan lagi menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, persepakatan tersebut tidak terjejas walaupun mutakhir ini terdapat pelbagai usaha kalangan tertentu yang cuba menimbulkan kesangsian berhubung kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.

“Tujuannya adalah jelas iaitu menyekat kebangkitan rakyat dan kemaraan kedua-dua parti terbesar ini dari terus memenangi pilihan raya, khasnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang sedang berlangsung sekarang.

“Sukacita ditegaskan bahawa kerjasama dan muafakat kedua-dua parti ini bukan saja diteruskan malah akan diperkasakan lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Annuar lagi, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hassan telah melantik beberapa pemimpin terkanan parti untuk menganggotai satu jawatankuasa bersama untuk merangka tindakan susulan ke arah kerjasama yang lebih kukuh lagi menuju PRU-15, selain ketika ini di PRK.

“Dalam konteks kempen PRK Semenyih, kita amat berpuas hati dan bersyukur dengan kerjasama yang begitu erat dan kuat antara UMNO dan PAS.

“Ternyata dalam PRK ini kita mencapai titik kerjasama dan muafakat yang lebih baik lagi berbanding semua PRK sebelum ini.

“Kini kerjasama terjalin di peringkat akar umbi dalam suasana ukhuwah dan semangat juang yang cukup tinggi,” katanya.

Seterusnya, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyedari bahawa permuafakatan UMNO-PAS merupakan penawar kepada kebejatan politik nasional kini.

“Kita sedar muafakat dan kerjasama UMNO-PAS adalah satu-satunya jawapan dan penawar bagi kebejatan politik nasional kini khususnya dalam kontek penyatuan dan kesatuan umat Islam dan orang Melayu / Bumiputera dalam negara kita.

“Insya-Allah, segala usaha mereka yang sedang dihimpit kegerunan untuk menyekat dan menghancurkan solidariti ini tidak akan berhasil.

“Malah ia memperkasakan lagi keazaman, iltizam dan istiqamah kedua-dua parti Islam ini untuk terus bersolidariti dan bermuafakat demi kepentingan ummah, agama, bangsa dan negara,” tegasnya lagi. – Media UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79