PAS Terus Bantu BN Di Semenyih, Jangan Terpengaruh Dakyah Luar – PAS Selangor

SEMENYIH, 21 Feb – Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi mengingatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih khususnya penyokong parti terbabit agar tidak mudah percaya dengan pelbagai khabar angin serta desas-desus berhubung kait sokongan parti berkenaan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, 2 Mac depan.

Menurut beliau perkara seumpama itu khususnya pelbagai serangan terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS bagi menghadapi PRK berkenaan adalah bertujuan untuk memecah-belahkan gerak kerja yang telah dibina sebelum ini.

“Sebenarnya itulah pilihan raya dan pilihan raya adalah peperangan. Jadi macam manapun serangan pemikiran terhadap pengundi akan dilakukan oleh pihak yang satu lagi dan kita tidak pelik dalam sistem pilihan raya negara kita.

“Jadi sebab itu kita harap pengundi-pengundi khususnya pengundi PAS jangan percaya dengan serangan-serangan yang hanya mahu memecah-belahkan kekuatan sekarang ini yang telah terbina antara PAS dengan UMNO dan kita bergerak untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kali ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus yang sehingga ke hari ini masih berlegar mengenai sokongan PAS terhadap UMNO bagi menghadapi PRK DUN Semenyih.

Terdahulu sebelum itu, beliau dan kepimpinan PAS lain mengadakan perjumpaan bersama jentera parti di Pejabat PAS kawasan terbabit. Turut serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyyudin Hasan.

Pada majlis itu juga, Pengarah Jentera BN  PRK Dun Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkongsi pandangan selain turut disertai calon BN, Zakaria Hanafi dan pimpinan lain.

Sallehen seterusnya menegaskan arahan untuk fasa kedua telah pun dimaklumkan kepada seluruh jentera parti yang terlibat dan insya-Allah baki kempen sembilan hari akan terus ditingkatkan.

Pada masa yang sama beliau sekali lagi menegaskan parti itu bukan sahaja akan berusaha untuk mengekalkan jumlah undi yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu malah akan berusaha untuk meningkatkan lagi pada PRK kali ini.

“Kita telah pun meletakkan dua sasaran pada PRK ini. Pertamanya undi yang PAS terima pada PRU lalu iaitu sebanyak 6,966 insya-Allah akan dapat kita ambil semula dan kita terjemah dalam bentuk mengundi BN pada PRK ini dengan kita cuba untuk tambah lagi dalam 20 peratus.

“Tentunya ada anak-anak muda yang tidak puas hati… peminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang tidak puas hati, pembayar tol yang tidak puas hati dan harap dapat ditingkatkan untuk bawa mereka mengundi BN.

“Jadi kita telah mengarahkan semua jentera kita di Selangor untuk turun di tiap-tiap PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang telah kita kenalpasti untuk membantu jentera ‘domestik’ dan jentera UMNO bagi kempen PRK dengan mengundi calon BN.

“Ada bahagian yang kita gerak bersama, ‘hit and run’, rumah ke rumah, lawatan ke pasar malam kita buat bersama dan adanya kita buat bersendirian, PAS …mungkin kita nak bertemu dengan ‘hardcore’ pengundi PAS. Saya rasa itu serahkan pada orang PAS sendiri untuk jumpa mereka dan di peringkat jentera Pemuda mereka telah susun program bersama sama ada ‘speaker corner’, ceramah berkelompok dan sebagainya,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.