BN Zahir Penghargaan Terima Kasih Kepada PAS


SEMENYIH, 21 Feb – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa terima kasih kepada parti PAS kerana membantu Barisan Nasional (BN) dalam lima pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jelas beliau, walau pada peringkat awalnya agak sedikit kekok namun kini hubungan kerjasama antara kedua-dua parti lebih mantap dan tersusun.

“Terutamanya selepas PRK Cameron Highlands, gerakan bersama semakin tersusun dan sudah ada jawatankuasa bersama.

“Saya percaya gerak kerja ini boleh berjaya kerana sekarang ini jelas dapat dilihat pihak sebelah sana dalam keadaan ketakutan dan sebab itulah Perdana Menteri boleh keluarkan kenyataan sebegitu (kononnya PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO di PRK Semenyih).

“Jika difikirkan… orang yang berpengalaman seperti Tun Dr Mahathir tidak sepatutnya memetik nama orang lain sebab bila orang itu nafikan… habislah dia… dan itulah yang terjadi,” ujar beliau ketika berucap dalam perjumpaan bersama jentera PAS di markas PAS, di sini malam tadi.

Dalam kesempatan tersebut, Ismail Sabri turut melahirkan ucapan terima kasih kepada jentera PAS kerana tidak mempercayai kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan sehinggalah ke PRU-15 dan saya yakin jika kita terus bersama, kita akan mampu membentuk kerajaan,” tegas beliau lagi.

Zakaria Hanafi mewakili BN bagi merampas kembali DUN Semenyih menerusi PRK yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac dengan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

PRK Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 pada Mei tahun lalu dengan yang pertama di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan)- MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79