Kos Sara Hidup Tinggi, Tadbir Urus Bercelaru… Alasan Kukuh Tolak PH Di Semenyih
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Penipuan dan pembohongan sudah menjadi kebiasaan bagi Pakatan Harapan (PH) sejak menerajui pentadbiran negara yang bermula dari janji manifesto tidak tertunai hinggalah tadbir urus kerajaan yang bercelaru, bidas Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah.
Jelasnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah masa terbaik untuk rakyat khususnya pengundi di kawasan terbabit bagi memberi pengajaran kepada kepimpinan PH dengan menolak mereka.
“Berikan mereka pengajaran tentang penipuan yang mereka taburkan selama ini terhadap janji-janji mengenai kos sara hidup dan tidak fokus dalam menjalankan tadbir urus kerajaan dengan baik,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujarnya, masyarakat perlukan pemimpin yang berjuang untuk memperbaiki taraf hidup rakyat namun yang berlaku sekarang harga barang keperluan asas semakin tinggi selain pentadbiran kerajaan PH kacau-bilau jika dibandingkan semasa zaman Barisan Nasional (BN).
“Penduduk Semenyih ada pilihan untuk memilih wakil rakyat yang berkaliber antara Zakaria Hanafi; calon yang berpengalaman dalam mentadbir, berkredibiliti, rendah diri dan berjaya membangunkan keluarganya dengan baik untuk menjadi contoh kepada masyarakat atau anak muda yang kuat fizikal semata-mata, kurang pengalaman dan lebih cenderung kepada penyelewengan atas apa yang berlaku dalam kelulusan akademiknya.”
Haryaty menekankan, calon BN pada PRK Semenyih adalah seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya calon PH lebih cenderung dalam penipuan sebagaimana status akademik di halaman Linkedin yang bertentangan dengan apa yang dimilikinya sebelum kemudiannya diubah semula.
“Jangan terpedaya dengan janji manis yang dilontarkan oleh PH, semuanya hanya pura-pura.”
Berkaitan dengan janji baru pula, calon PH menjanjikan untuk membina hospital di Semenyih.
“Sepanjang PH memerintah hospital dan masjid-masjid yang diluluskan oleh kerajaan BN semuanya dibatalkan dan ini menunjukkan kerajaan PH sebenarnya tidak konsisten dalam perjuangan dan tidak bersedia menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh rakyat,” tegasnya.
Antara yang dibatalkan oleh PH ialah pembinaan empat buah masjid di dalam kawasan Parlimen Lenggong, Perak bernilai RM5 juta dan juga pembinaan tiga buah masjid baru dalam Parlimen Pengerang, Johor berjumlah RM11 juta.
PRK Semenyih ini melibatkan empat penjuru yang bertanding iaitu Zakaria Hanafi dari BN, Muhammad Aiman Zainali dari PH, Nik Aziz Afiq Abdul dari PSM dan aktivis sosial Kuan Chee Heng atau lebih di kenali sebagai ‘uncle kentang’ bertanding atas tiket bebas.
Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan 16 Feb, Sabtu lalu manakala hari pengundian awal ialah 26 Feb dan hari pengundian pada 2 Mac. – MediaUMNO
**********
Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/