DAP Sudah Menghalalkan Budaya Lompat Parti?
PADANG BESAR 14 Feb. – DAP tidak sepatutnya berdiam diri sebaliknya perlu menyatakan pendirian jelas mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai mereka.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, DAP khususnya, adalah antara yang paling lantang menentang budaya lompat parti dan sehubungan itulah, mereka perlu melakukan sesuatu dalam isu berkenaan.
Beliau secara sinis berkata, sama ada DAP kini sudah ‘menghalalkan’ budaya lompat parti yang ditentang mereka sewaktu 2009, apabila wakil rakyat pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).
“Dulu juga ada yang gelarkan pemimpin UMNO itu ‘raksasa’ (monster) lah namun sekarang sudah menjadi rakan seperjuangan pula. Adakah sekarang mereka sudah ‘sekatil’ dengan monster,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Persatuan Chong Fah Koong Fooi, Kaki Bukit di sini, hari ini.
Baru-baru ini, enam bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mereka adalah Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Keputusan menerima mereka bagaimanapun ditentang oleh ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama daripada PKR.
Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, gejala menerima ijazah palsu dilihat semakin menular dalam kalangan ahli politik ketika ini dan perkara itu perlu segera dihentikan.
Katanya, dalam suasana Malaysia baharu yang sentiasa menekankan aspek integriti, perbuatan menipu sijil kelayakan akademik itu tidak sepatutnya berlaku.- UTUSAN ONLINE