Macam-Macam Proses BSH, Seolah-Olah Tidak Ikhlas – Najib


KUALA LUMPUR 10 Feb. – Tujuan Bantuan Sara Hidup (BSH) adalah untuk meringankan beban rakyat, namun sebaliknya seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, proses mendapatkan bantuan itu pula merumitkan rakyat.

Menerusi status hantaran di laman Facebook, Najib Razak turut menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah tidak ikhlas untuk memberi bantuan tersebut berikutan pelbagai proses yang perlu dilakukan untuk mendapatkan BSH.

“Seminggu dua ini saya baca ‘Tweet’. Ramai yang ‘busy’ update info BR1M atau BSH, cucu-cucu dan anak-anak bantu.

“Macam-macam proses dan dokumen diperlukan kini. Ramai yang marah, semakin menyusahkan orang kerajaan PH ini.

“Seolah-olah tidak ikhlas untuk beri, tidak galakkan orang mohon,” kata Najib.

Dalam masa sama, Najib turut menyindir kerajaan yang didakwa seolah-olah tidak mempunyai kefahaman dan pengetahuan asas mengenai impak positif bantuan berkenaan.

“Kerajaan PH perlu faham mengapa BR1M diberikan. Ia membantu meringankan beban rakyat. Kehidupan mereka kini semakin terhimpit.

“Telah terbukti juga pemberian bantuan tunai kepada rakyat meningkatkan penggunaan domestik dan merangsangkan ekonomi.

“Ini kefahaman dan pengetahuan asas tetapi kerajaan PH tidak faham atau buat-buat tidak faham,” katanya.

Hantaran itu ditulis berikutan aduan ramai pengguna Twitter yang mengatakan proses untuk mendapatkan bantuan BHS menyusahkan mereka.

Berdasarkan semakan di laman media sosial Twitter, seorang pengguna, @Syxzxnrbxlqis_ mengadu bahawa proses mengemaskini BHS yang pada awalnya disangka senang kemudian didapati merumitkan.

“Tadi aku tolong bapa aku kemaskini #BSH dia. Aku ingatkan kemaskini ini senanglah. Sekali dia minta sijil anak-anak dan nikah. Tetiba aku jadi ‘blur’ sebab tidak tahu cara memuatnaik semua dokumen tu,” katanya.

Selain itu seorang pengguna Twitter, @syasyasyari7033 pula mengeluh kerana walaupun dia banyak tanggungan namun tidak layak memohon BHS kerana statusnya yang bujang.

“Tak layak pula nak mohon BSH. Aku bujang pun tapi sewa rumah RM800, tanggung mak aku yang tidak sihat lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit