Jadikan PRK Semenyih Referendum Rakyat, Peluang Suarakan Rasa Tak Puas Hati Terhadap PH

SEMENYIH, 10 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menekankan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih perlu dijadikan platform terbaik untuk rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PRK ini akan dijadikan penanda aras bagi melihat sejauh mana keyakinan rakyat terhadap jalinan kerjasama UMNO dan Pas sebagai gabungan pembangkang yang efektif.

“Ini peluang kepada rakyat… kalau BN menang sekali pun ia tidak akan beri apa-apa kesan kepada kerajaan, sebaliknya ia wajar dijadikan referendum rakyat terhadap segala ‘track record’ PH yang walaupun hanya sembilan bulan, tetapi sembilan bulan penuh seksa, rakyat tak dapat apa yang dijanjikan, kos sara hidup makin meningkat, minyak naik, rakyat nanti (harga minyak) RM1.50 tak turun, subsidi pelbagai perkara,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan antara UMNO, Pas, Berjasa dan Ikatan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, barisan pembangkang tidak begitu mensasarkan kemenangan kerana kalau mereka berjaya merampas kerusi itu, ia tidak memberi kedudukan kepada Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan dari segi jumlah kerusi.

“PRK ini perlu jadi referendum rakyat… isu tol yang paling hebat, sebab rakyat di Semenyih ada tol. Jadi, ini saat paling baik untuk mengingat kembali janji kerajaan PH untuk memansuhkan tol,” katanya

Dalam mesyuarat itu, delegasi Pemuda Pas Pusat diwakili ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dan ia turut dihadiri Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak, dan ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Shahir Adnan.

Sementara itu, Muhammad Khalil yang mewakili Pemuda Pas berkata, pihaknya akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN untuk PRK itu.

“Kerjasama strategik politik ini memberikan gambaran bahawa bukan sahaja tak akan ada pertandingan tiga penjuru bagi PRK ini, malah ia akan berterusan sehingga pilihan raya umum seterusnya.

“Kerjasama ini telah kami tunjukkan di Cameron Highlands, dan kami jelmakan di Semenyih. Apa yang penting, ia akan menjadi satu lagi isyarat kepada PH bahawa rakyat sudah hilang keyakinan pada kerajaan PH yang khianati janji dalam manifesto PRU yang lepas,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan dengan penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit