Isu ECRL Dan Penubuhan Tribunal SPR : Kerajaan PH Setaraf Program Maharaja Lawak


KUALA LUMPUR, 31 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menyifatkan isu pembatalan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL)  dan penubuhan Tribunal Pilihan Raya oleh kerajaan Pakatan Harapan menyerlahkan betapa kerajaan hari ini bukan sahaja caca-merba malah boleh diiktiraf setanding dengan program Maharaja Lawak.

Menurut beliau keputusan kerajaan mengenai pembatalan projek ECRL yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain khususnya kalangan menteri yang berkaitan seperti Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyerlahkan bagaimana harunya  kerajaan hari ini.

“Seorang kata batal…seorang lagi pula kata belum lagi dan ada pula kalangan kabinet lain pula terkejut dan terpinga-pinga. Apa semua ini dan apakah sebenarnya berlaku sesama mereka.

“Begitu juga dengan pembentukan Tribunal Pilihan Raya…pelik dan ajaib apabila  Ahli lembaga dah letak jawatan namun ditubuhkan pula tribunal. Saya pun tidak faham dan melihat ini adalah sebuah kerajaan yang penuh dengan kelucuan tersendiri.

“Jika itulah gaya perjalanan pentadbiran mereka, apakah hari ini kerajaan yang ada tidak cekap dalam soal pentadbiran atau sebaliknya. Jika sebelum ini cukup popular dengan ‘u-turn’ hari ini penuh dengan lawak yang tersendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu seterusnya menekankan apakah keperluan sebenar langkah kerajaan berhubung penubuhan Tribunal Pilihan Raya dan penjelasan berhubung kontroversi berkenaan perlulah diperjelaskan kepada rakyat.

Tambahnya tanpa ada alasan yang mencukupi menyebabkan penubuhan tribunal tersebut sekadar melondehkan kelemahan pentadbiran mereka sendiri.

Dilaporkan pasukan peguam mewakili empat bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disiasat oleh Tribunal Pilihan Raya hari ini berhubung dakwaan salah laku ketika mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sedang mempertimbang untuk menyaman peguam negara, Tommy Thomas.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata tindakan itu adalah kerana pihaknya melihat penubuhan serta persidangan tribunal itu tidak perlu diteruskan memandangkan Thomas mengetahui anak guamnya telah menghantar surat perletakan jawatan sekitar November lalu dan perletakan jawatan itu berkuatkuasa pada 1 Jan lalu.

Dan mengenai ECRL pula, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan  berkata beliau telah dinasihatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat sebarang pengumuman ketika ini berhubung projek tersebut. -MediaUMNO

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.